BERITA
PDRM Larang Aktiviti Berbasikal Di Lebuh Raya, Peraturan Sudah Lama Ada - "Individu Bersalah Boleh Dikenakan Denda ..."
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang sama sekali kerana laluan tersebut direka khusus untuk kegunaan pelbagai jenis kenderaan bermotor seperti lori, bas dan motosikal.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, larangan ini penting demi keselamatan semua pengguna jalan raya, termasuk penunggang basikal sendiri yang berisiko tinggi sekiranya berkayuh di lebuh raya.
Jelasnya, peraturan berkaitan juga telah lama termaktub dalam Kaedah Lalu Lintas di bawah LN165/59, yang memperincikan kewajipan penunggang basikal terhadap undang-undang jalan raya.
“Dalam Kaedah Lalu Lintas LN165/59 ada menyatakan 18 peraturan asas berkaitan penunggang basikal yang perlu dipatuhi termasuk Peraturan 65 iaitu sentiasa mematuhi undang-undang semua kaedah dan peraturan lalu-lintas.
“Jangan sesekali tidak mempedulikan isyarat jalan. Isyarat tangan bagi keselamatan dan tunjuk arah serta pemandu kenderaan bermotor yang lain.
“Bagi Peraturan 66, mereka perlu menggunakan laluan paling selamat dan menjauhi lalu-lintas yang sibuk,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yusri menjelaskan bahawa pihak konsesi lebuh raya atau pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bertanggungjawab untuk meletakkan papan tanda larangan dengan jelas di lokasi berkaitan sebagai langkah pencegahan.
Katanya, larangan penggunaan lebuh raya oleh penunggang basikal telah diperincikan melalui Kaedah Isyarat Lalu Lintas LN167/59, khususnya di bawah Peraturan 17, yang turut melibatkan kenderaan yang ditarik haiwan, beca dan basikal roda tiga.
“Kedua-dua tanda isyarat berkaitan larangan itu perlu dipasang oleh pihak konsesi atau pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memberikan pemberitahuan yang jelas kepada pengguna jalan raya,” jelasnya lagi.
Tindakan boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang melanggar larangan tersebut. Menurut Mohd Yusri, perkara ini tertakluk di bawah Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Individu yang bersalah boleh dikenakan denda mencecah RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara 12 bulan bergantung kepada kesalahan dilakukan,” katanya.
Tambahnya, secara umum terdapat dua kategori utama aktiviti berbasikal di negara ini iaitu untuk tujuan rekreasi dan juga sebagai pengangkutan harian. Namun, penunggang yang ingin berbasikal secara santai perlu memastikan mereka memilih kawasan yang sesuai dan dibenarkan, contohnya taman-taman awam atau laluan khas yang diwujudkan untuk acara tertentu.
“Untuk tujuan rekreasi, penunggang sepatutnya berkayuh di kawasan taman yang membenarkan aktiviti rekreasi atau semasa program kayuhan basikal dianjurkan oleh PBT atau pihak lain.
“Seorang penunggang basikal perlu mematuhi 18 peraturan asas LN 165/59 yang ditetapkan sebagai pengguna jalan raya,” katanya.
Mohd Yusri turut menegaskan bahawa struktur jalan raya di Malaysia pada dasarnya lebih tertumpu kepada pergerakan kenderaan bermotor, dan justeru itu, keselamatan penunggang basikal tidak boleh dipandang ringan.
Sumber: Buletin Utama
Must-Watch Video