HIBURAN
Festival Muzik EDM HardTech Gegar Sepang Sempena Minggu MotoGP!
Buat pertama kalinya, Hi:Five Entertainment akan membawakan dua festival muzik elektronik bertaraf dunia, HardTech (Hardmission dan Techmission) serta Transmission, bersempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025.
Acara pra-parti ini dijadual berlangsung pada 18 dan 19 Oktober 2025 di lokasi ikonik Helipad, dengan PETRONAS Sepang International Circuit sebagai rakan strategik.
Kata Pengarah Urusan Hi:Five Entertainment, Sean Pereira, acara ini bukan sekadar festival muzik namun meraikan komuniti dan menggalakkan sektor pelancongan tempatan.
"Ia adalah sambutan komuniti, budaya dan masa depan muzik elektronik di Malaysia. Dengan gabungan MotoGP, HardTech dan Transmission, Litar Antarabangsa Sepang bakal bertukar menjadi pusat denyutan bunyi, cahaya dan semangat bersama.
"Lebih daripada sekadar hiburan, acara ini akan menghimpunkan barisan DJ bertaraf dunia dengan persembahan penuh bertenaga, disertai gabungan visual dan pencahayaan yang memukau, mencipta pengalaman deria yang tiada tandingan.
"Kolaborasi bersama PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 ini juga menjadi detik bersejarah buat komuniti rave, menandakan kemunculan semula muzik trance di negara ini.
"Muzik adalah inti setiap acara yang kami hasilkan, dengan tumpuan pada pengalaman yang pelbagai dan menarik untuk semua peminat muzik daripada sesi akustik intim hinggalah konsert rock bertenaga tinggi.
"Kami berazam untuk menyatukan orang ramai melalui bahasa universal muzik, mencipta detik-detik yang menghiburkan, menginspirasikan dan menghubungkan," katanya kepada Gempak.

Pada 18 Oktober, pentas akan menjadi milik HardTech, diikuti Transmission pada 19 Oktober, dengan jangkaan kehadiran sehingga 15,000 pengunjung.
Kehadirannya bertepatan dengan hujung minggu MotoGP menjadikan acara ini satu peristiwa bersejarah bagi industri muzik elektronik negara.
HardTech yang merangkumi Hardmission dan Techmission merupakan kuasa baharu dalam dunia muzik elektronik, terkenal dengan hentakan irama bertenaga dan persembahan visual yang imersif.
Buat julung kali ke Malaysia, HardTech menjanjikan pengalaman rave futuristik yang menggabungkan rekaan bunyi termaju dengan seni visual memukau, memecahkan batasan antara muzik, teknologi dan budaya.
Transmission pula adalah jenama trance ikonik dunia yang terkenal dengan produksi berskala besar, tema sinematik dan gabungan cahaya, laser serta bunyi yang membuai emosi penonton.
Berasal dari Eropah, Transmission telah berkembang menjadi fenomena global, memikat pengunjung di pelbagai benua dan kini, kehadirannya di Malaysia menandakan babak baharu dalam sejarah muzik dance negara.
Kedua-dua festival ini akan membawa penonton menyelami sebuah perjalanan muzik yang mengasyikkan, daripada melodi trance yang mengangkat semangat hinggalah rentak hardstyle yang memacu tenaga tanpa henti.
Antara DJ yang bakal tampil membuat persembahan ialah Ben Nicky, Dexson, Subzero Project, TRYM, Alexis Grace, Tweeka Core, Space 92, Mondy dan ramai lagi.
Tiket untuk kedua-dua hari festival boleh dibeli secara dalam talian di TICKETMELON.COM dan MEGATIX.ASIA.
Untuk perkembangan terkini, ikuti @hifiveasia di Instagram dan Facebook.
Must-Watch Video