“Bukan Dibatalkan, Tapi…” - Norman Perjelas Isu Sebenar Konsert GenKRU
Anggota kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim tampil menjelaskan kekeliruan berhubung laporan media yang mendakwa konsert GenKRU di Pulau Pinang dibatalkan.
Menurut Norman, pihak KRU tidak pernah mengumumkan penganjuran atau menjual tiket konsert GenKRU di Pulau Pinang mahupun di mana-mana negeri sebelum ini.
“Kami memang ada perancangan untuk mengadakan konsert GenKRU di beberapa negeri, termasuk Pulau Pinang. Namun selepas membuat kajian teknikal dan mempertimbangkan kemampuan persembahan, kami memutuskan untuk membatalkan hasrat tersebut.
“Bukan pembatalan konsert yang sudah diumumkan, tetapi pembatalan idea untuk menganjurkan konsert di bawah jenama GenKRU di Pulau Pinang,” jelasnya.
Tambahnya, jika pihak KRU mahu membuat konsert di luar Kuala Lumpur mereka akan menggunakan format persembahan dan akan dijenamakan di bawah nama lain.
“Tunggu pengumuman rasmi daripada kami dan jangan percaya khabar angin,” katanya.
Terdahulu, kumpulan KRU melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) menerusi pencapaian luar biasa dan penuh fenomena di atas penganjuran Konsert GenKRU 2025 selama empat hari yang berlangsung di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Malaysia Book of Records memberi pengiktirafan kepada trio adik-beradik yang terdiri daripada Datuk Norman Abdul Halim, Yusry dan Edry menerusi penganugerahan MOST SHOW IN A SINGLE CONCERTS SERIES (Persembahan Terbanyak Dilakukan Dalam Satu Siri Konsert).
KRU telah melakukan persembahan konsert selama empat malam iaitu pada tarikh 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025.
Konsert GENKru yang sudah dihadiri oleh lebih 30,000 peminat turut menyaksikan kemunculan istimewa undangan khas seperti kumpulan Feminin, Elite dan Adam AF.