Watch

Labur RM150K untuk modifikasi Honda Integra DC5 Type R ini.

Public Anonymous User
27/08/2018
08:57 MYT
Sponsor Banner
Labur RM150K untuk modifikasi Honda Integra DC5 Type R ini.
Honda Integra DC5 Type R yang dipaparkan kali ini, boleh dikatakan generasi terakhir model itu dikeluarkan pada peringkat global.
Buat masa ini, Honda sudah tidak mengeluarkan lagi model baharu bagi keluarga Integra buat pasaran semasa.
Jadi edisi terakhir Honda Integra yang anda lihat ini, sebenarnya bukan dalam keadaan standard selepas pemiliknya Mohamad Firdaus Tamizi, 27, sudah pun mengubahsuai dari segi penampilan dan prestasi enjinnya.
Menurutnya, dia sudah pun melabur hampir RM150,000 untuk melakukan modifikasi jentera itu membabitkan kos komponen serta upah mekanik bagi melahirkan kenderaan idamannnya.
Dia meminati jentera itu kerana memiliki bentuk menarik, selain model yang boleh dikatakan ‘rare’ apabila pengeluarannya sudah ditamatkan pada 2006.
Honda Integra DC5 Type R yang dimilikinya sejak 2014 itu tidak dibiarkan begitu sahaja selepas menjadikan produk Mugen sebagai konsep ubah suai jentera berkenaan.
Apa yang boleh dilihat, segala kit badan dan aksesori menghiasinya luarannya dilengkapi produk Mugen membabitkan bampar, dapra, bonet serta GT Wing. Cuma cermin sisi menggunakan jenama Ganador supaya tampak sporty.
Buat pengetahuan anda, semua komponen itu adalah tulen yang diimport dari Jepun. Jadi ia sudah pasti mahal serta agak sukar untuk diperolehi.
Yang paling menarik perhatian drebar.my adalah rim MF10 bersaiz 17 inci yang ada pada jentera ini.
Pemiliknya memaklumkan ia adalah barang paling mahal pada jentera itu selepas dibeli dengan harga RM10,000 pada 3 tahun lalu. Bagaimanapun ia bukannya kondisi baru tetapi yang sudah terpakai.
Rim itu juga yang diikat dengan nat kunci Mugen untuk keselamatan dan turut dibaluti tayar Yokohama Advan Neova.
Jika melihat pada ruang dalaman, boleh dikatakan setiap sudut aksesori yang digunakan adalah produk Mugen. Ia membabitkan stereng, tombol gear, bantuan meter dan penutup cermin pandang belakang.
Suasana bahagian dalaman juga lebih ceria dan menarik dengan padanan kerusi merah jenama Recaro SR5.
Di bawah bonetnya pula, enjin asal ditukar kepada kod siri K24 yang mana ia berkapasiti lebih besar berbanding sebelumnya.
Enjin itu turut diubah suai terutama bahagian blok dan kepala silinder. Pada bahagian blok, ia diletak dengan omboh Wiseco yang dipegang pada batang jenama BC Racing.
Kepala silinder pula menjalani proses ‘port & polish’ untuk melancarkan perjalanan campuran udara dan minyak, selain dilengkapi highcam Drag Cartel.
Komponen yang berkaitan dengan aliran bahan api pula diberi kepercayaan kepada Skunk 2 seperti ambilan dan pendikit badan, selain itu menggunakan ECU Hondata bagi memberi prestasi lebih baik.
Pada ruang itu juga, ada beberapa aksesori Mugen yang digunakan membabitkan penutup palam pencucuh supaya tampak kemas.
Jentera yang anda lihat ini menerima sentuhan bengkel Lochee USJ dan ditala oleh Pentagon Racing.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar