Hiburan

REVIU: Manifesto Kahar: Kapla High Council, Sisi Hitam Seorang Protagonis

Maliah Surip
27/11/2024
12:42 MYT
Sponsor Banner
REVIU: Manifesto Kahar: Kapla High Council, Sisi Hitam Seorang Protagonis
Ibarat membuka lembaran judul demi judul di dalam sebuah buku yang mahu dibaca dengan penuh cermat dan berhati-hati tanpa tertinggal satupun fakta atau fiksinya, begitulah boleh dikatakan mengenai filem Kahar: Kapla High Council.
Filem arahan sutradara berprolifik, Razaisyam Rashid dengan judul Kahar: Kapla High Council dibawa ke layar lebar selepas drama bersiri yang dipelopor oleh pengarah hebat, Anwari Ashraf, Project High Council menjadi fenomena sewaktu ditayangkan di saluran Astro.
Maka dengan sebaris judul Kahar: Kapla High Council untuk filem yang memulakan tayangan di pawagam seluruh Malaysia pada 28 November 2024, tentu sahaja subjek utama yang diketengahkan adalah sosok karakter Kahar.
Sebelum pergi kepada jalan cerita, pembikinan Kahar: Kapla High Council menampilkan sinematografi oleh Stephen Chua yang bersifat konsisten dengan keseluruhan hidup Kahar. Muzik oleh MonoLoque memicu adrenalin mengalir lebih deras terutama pada babak-babak tegang yang dipaparkan.
Baik, apa sahaja yang diceritakan dalam Kahar: Kapla High Council dengan klasifikasi 18-SG ini?
Kahar masih dimainkan oleh bintang muda Amir Ahnaf. Sejak pertama kali diperkenalkan menerusi watak Kahar di kaca tv, Amir adalah Kahar. Dan Kahar adalah Kapla. Kapla High Council di KUDRAT yang tumbuh cemerlang sehingga Kahar dilihat ‘hidup subur’ di dalam darah seni pemuda yang baru menjamah ‘gigi air’ industri seni.
Dan di sebalik Kahar: Kapla High Council dikupas tentang perjalanan serta fasa bagaimana karakter antagonis itu terbentuk daripada tekanan berdepan keinginan seorang bapa yang berkuasa serta menjaga imej sang abang sehingga api kebencian meluap terbakar dan melahap ‘mangsa’.
Babak bergaduh, bergasak, tumbuk-menumbuk, pijak-memijak, sepak dan terajang serta berdarah sana seni. Sikap marah meluap dan egois seorang remaja lelaki apalagi apabila menerima sokongan daripada gerombolan pelajar lain di sekolah.
Namun dapat difahami jika memahami konteks di sebaris judul Kahar: Kapla High Council —- ia ibarat memoir perjalanan budak lelaki yang ‘penat’ dipanggil Benya menjadi rakus seperti Kahar; yang dilapisi prolog bahawa dia mempunyai seorang abang yang bersekolah di KUDRAT iaitu Reza.
Reza dimainkan cemerlang oleh Aedy Ashraf (kecuali kekok melihat aktor ini bertutur dalam bahasa Kelantan). Aedy sama seperti Fadhli Masoot telah secara tidak langsung menyeimbangi kehadiran muka baharu yang tidak kalah hebat memainkan karakter masing-masing dengan cetakan stail tersendiri seperti Sky Iskandar (Megat) dan Faridh Yasin/Khenobu sebagai Jojo.
Ada banyak yang mahu diulas tapi penulis memilih berhenti di sini untuk memberi ruang peminat dan penonton yang telah lama menantikan filem terbitan Pasal Productions dan Alpha 47 Films lalu diedarkan Astro Show ini memberi penilaian dan menonton daripada perspektif sendiri.
Apa yang pasti keseluruhan produksi dan tim filem ini telah menghasilkan sebuah Kahar: Kapla High Council dengan manifesto yang jelas iaitu kuasa (secara salah laku) dan keganasan tidak akan pernah menjadi halal.
Selamat meraikan karya anak tempatan namun jangan membawa pulang semua kejahatan yang dipaparkan. Ambil kritikan sosial terhadap sistem persekolahan dari isu buli sehingga kasta dan kuasa.
Oh dan ini pesanan penting —- jangan keluar panggung sehingga anda menemui kejutan yang mengujakan di antara Kahar dan Fakhri (Meirul Aiman) berbicara tentang ‘Ayam’.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar