HIBURAN
Zarul Umbrella Kenang 11 Tahun MH370 Hilang - “Nak Pergi Flight Semua Menangis Tapi Kami Tetap Senyum Pada Penumpang”
Penyanyi yang juga bekas pramugara MAS Zarul Umbrella berkongsi momen pilu ketika dunia penerbangan negara berdepan dengan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac 2014.
Tetap Senyum Pada Penumpang
Genap 11 tahun misteri kehilangan pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, Zarul menceritakan detik hitam yang berlaku kepadanya dan rakan-rakan sekerja ketika itu.
Kongsi Zarul, dia dan rakan sekerja masih mampu tersenyum memberi layanan kepada penumpang biarpun baru sahaja kehilangan rakan-rakan setugas lain.
Menangis Kenang Nasib Rakan Setugas
Malah, Zarul juga mengenang momen dia dan rakan sekerja menangis sebelum memulakan tugas selepas dua hari berita kehilangan MH370.
“Diuji dengan dua tragedi. Tetapi dalam kesedihan itu kita rapat.
“Saya masih dalam perkhidmatan ketika itu. Dia punya level kita sedih itu, nak pergi flight pun semua menangis tapi kami masih senyum dengan penumpang.
“Kemudian saya ingat, kita menangis dekat briefing room, tak tahu apa yang terjadi kepada rakan sekerja kami.
“Hilang. Dua hari selepas itu kita kena kerja. Itu pada saya rasa memang…,” kongsi Zarul dalam keadaan sebak.
Pada 8 Mac 2014, pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing namun hilang daripada skrin radar dua jam selepas penerbangan.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat digerakkan secara besar-besaran oleh beberapa negara di kawasan berkeluasan jutaan kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun bangkai atau pesawat berkenaan gagal ditemui sehingga kini.
Must-Watch Video