HIBURAN
"Ya Saya Masih Rasa Takut, Cuba Tutup Aurat Dengan Sempurna" - Syasya Rizal
Bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal, tampil berkongsi sisi peribadi mengenai penghijrahannya mengenakan hijab sebelum mendirikan rumah tangga tahun lalu.
Jelas Syasya menerusi satu hantaran di Instagram, keputusan untuk berhijab bukanlah sesuatu yang mudah buat dirinya, dan sehingga kini pun ia masih merupakan satu perjalanan yang penuh cabaran dan pembelajaran.
"Apabila saya buat keputusan untuk memakai tudung, ia bukan sesuatu yang mudah. Dan sejujurnya, ia masih belum mudah.
"Ya, saya masih rasa takut. Masih belajar. Masih cuba sebaik mungkin untuk menutup aurat dengan sempurna.
"Tapi satu perkara yang saya sedar, dalam perjalanan untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik, saya masih mahu rasa cantik, bergaya dan yakin dengan diri sendiri," ujarnya.
Dalam hantaran itu, Syasya turut memperkenalkan jenama tudung Finura, yang menurutnya bukan sekadar label fesyen, tetapi juga satu peringatan untuk dirinya sendiri bahawa memakai tudung adalah sesuatu yang indah.
"Dan di sinilah Finura memainkan peranan. Ia bukan sekadar jenama tudung, tetapi juga satu peringatan untuk diri saya sendiri (dan mungkin untuk anda juga) bahawa: 'Pakai tudung itu indah. Kita cuma perlu berani mencuba, bergembira dan cari gaya sendiri'.
"Memakai tudung tidak menjadikan anda kurang menarik, tidak cantik atau tidak menawan. Percayalah. Perjalanan baharu ini adalah tentang berkembang menjadi versi terbaik diri kita," tambahnya.
Sementara itu, pengasas Finura iaitu Nurulain Md Yusof, pemilihan Syasya sebagai duta adalah sangat tepat dalam memacu jenama Finura untuk lebih barjaya di masa hadapan.
“Syarikat memang sedang mencari seorang duta, jadi satu hari saya terlihat video Syasya di TikTok yang mengenakan tudung bawal dan saya terus rasa dia sangat sesuai untuk menjadi duta Finura.
“Jadi daripada situ saya rasa pemilihan Syasya sebagai duta adalah keputusan yang tepat dalam memberi impak positif buat Finura,” katanya.
Berkongsi lanjut, Nurulain memberitahu Finura sudah ada rancangan bersama Syasya selama satu tahun kontrak mereka berjalan.
Menariknya, Finura memberikan kebebasan penuh kepada Syasya untuk memilih sendiri rekaan dan warna tudung sepanjang bergelar duta.
“Kami berikan dia kebebasan supaya dia bebas meneroka keselesaan dalam memakai tudung dan buatkan perjalanan hijrahnya semakin baik,” kata Nurulain.
Menurut Nurulain, Finura merancang untuk melancarkan dua koleksi baharu setiap bulan, dan berharap kerjasama ini memberi kesan positif, bukan sahaja kepada jenama tetapi juga buat Syasya.
“Harapan saya bukan sahaja untuk Finura malah buat Syasya, saya mahu peminat melihat perubahan hijrah Syasya sebagai satu perkara positif, bukan disebabkan dia berhijab dapat jadi duta," tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa penghijrahan Syasya dilakukan secara ikhlas, dan kehadirannya di Finura diharap dapat meningkatkan keyakinan wanita bertudung untuk tampil cantik dan selesa.
“Finura hadir dalam pasaran untuk tingkatkan motivasi wanita bertudung iaitu dengan tampil cantik dan selesa di khalayak umum, cantik cara kita.”
Koleksi The First Bloom, yang diinspirasikan daripada perjalanan hijrah Syasya, akan dilancarkan secara rasmi pada 17 Jun, jam 9 malam menerusi TikTok Live Finura, dan boleh dibeli di laman sesawang serta TikTok Shop jenama itu. Finura turut menawarkan penghantaran ke Singapura dan Brunei.
Must-Watch Video