HIBURAN
Bantu Amir Raja Lawak, Zizan Mahu Jadi Inspirasi Bukan Riyak - “Saya Takut Sebenarnya…”
Pelakon dan pengacara, Zizan Razak menyedari namanya mula menjadi bualan ramai selepas pelawak, Amir Raja Lawak berkongsi mengenai bantuan yang ingin disampaikan oleh Zizan.
Jelas Zizan, walaupun hubungan mereka tidaklah begitu rapat dia terpanggil untuk membantu meringgankan beban Amir.
“Sebenarnya, dia tak cari saya pun. Saya yang DM dia tanya bagaimana keadaan dia, macam mana anda lihat saya tulis itulah dia. Walaupun dia dengan saya tidaklah rapat sangat tapi dia ada dalam kepala sama sebab kami lahir dari program yang sama iaitu Raja Lawak.
“Tapi untuk membantu bukan rakan-rakan artis sahaja kita perlu bantu, orang-orang luar yang kita tak kenal pun boleh sahaja kita bantu, apalah sangat. Allah bagi rezeki bukan 100 peratus untuk kita ada bahagian yang perlu kita berbahagi. Bukan mahu tunjuk bagus tapi demi kebaikan bersama,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Zizan akui bimbang sekiranya tindakannya disalah anggap sebagai riak.
“Saya takut sebenarnya, kalau boleh selepas saya dah derma saya nak diam-diam sahaja tapi kalau saya buat diam-diam mungkin orang tak nampak kerja saya. Saya bukan nak suruh orang nampak saya baik tapi inspirasikan apa yang saya buat ini.
“Nak bantu orang bukan soal duit sahaja, kita ada tangan, tenaga dan suara. Benda-benda ini pun boleh bantu orang sekeliling kita. Tapi saya takut takut mungkin ada pihak yang lihat benda ini sebagai riak, sebab tu bila saya buat saya takkan komen atau like saya diam sahaja. Kalau mereka yang menerima pertolongan saya itu nak hebahkan itu hak mereka, saya hanya buat yang terbaik,” ujarnya.
Terdahulu, Amir Raja Lawak memuat naik hantaran di Instagram mendedahkan bahawa Zizan telah menghubunginya untuk memberi bantuan. Dalam masa sama, Amir turut merayu pihak stesen televisyen yang berhutang dengannya sebanyak RM18,000 supaya melunaskan bayaran tersebut dengan segera.
Jelas Amir, wang itu amat diperlukan bagi menampung kos rawatan dan keperluan harian ayahnya yang kini uzur.
Must-Watch Video