BERITA
Tiga Tahun Tak Keluar Rumah, Lelaki Murung Selepas Kematian Ahli Keluarga
Meratapi kehilangan ibu, bapa dan abang, seorang lelaki yang juga bekas juruteknik komputer, Anup Kumar Nair, bertindak mengasingkan diri dan tidak keluar dari rumah sejak 2022.
Menurut pekerja sosial dari Pertubuhan Sosial dan Evangelikal untuk Kasih Sayang (SEAL), ketika sesi lawatan dibuat, mereka terkejut melihat timbunan paket makanan dan sampah, pakaian berselerak, perabot yang rosak serta lapisan habuk tebal.
Katanya, sudah hampir tiga tahun dia tidak membuka pintu kepada sesiapa kecuali penghantar makanan.
Lelaki berusia 55 tahun itu dalam keadaan tidak terurus, rambut yang terlalu panjang dan kusut serta mengalami jangkitan pada kaki menyebabkan kulit menjadi hitam.
Nair tidur di atas kerusi di ruang tamu kerana katilnya telah rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi, menurut visual dari apartmennya.
Difahamkan, dia telah kehilangan ibu bapanya dalam tempoh enam tahun lalu, manakala abangnya telah meninggal dunia lebih dua dekad lalu.
Kejadian itu dipercayai menyebabkan dia mengalami kemurungan teruk yang mendorongnya untuk mengasingkan diri daripada dunia luar.
Dia juga menjauhkan diri daripada beberapa ahli keluarga yang cuba menghubunginya untuk memberikan sokongan.
Seorang penduduk di Gharkool Society, Juinagar berkata, Nair jarang membuka pintu rumahnya dan hampir tidak pernah membuang sampah.
Malah, katanya, dia sering perlu dipujuk oleh jiran tetangga untuk membuang sisa domestik.
Pekerja SEAL tiba di kediamannya selepas menerima maklumat daripada salah seorang penduduk kompleks kawasan tersebut.
Dia kemudian dibawa ke Ashram NGO berkenaan di Panvel untuk menerima rawatan bagi jangkitan pada kakinya.
Nair pernah bekerja sebagai pengaturcara komputer. Ibunya merupakan kakitangan dalam cawangan telekomunikasi Tentera Udara India, manakala bapanya pernah bekerja di Hospital Tata, Mumbai, India.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video