Skandal Seks 'Uncle Red' Terbongkar
Seorang lelaki di China mencetuskan kejutan besar apabila menyamar sebagai wanita dan menjalinkan hubungan seks dengan ratusan lelaki, kemudian merakam aksi itu secara rahsia sebelum menjualnya dalam talian.
Lelaki berusia 38 tahun dikenali sebagai Jiao itu memakai rambut palsu, solekan, skirt panjang dan mengubah suaranya agar terdengar seperti wanita bagi memperdaya mangsa.
Suspek digelar ‘Uncle Red’ dan dipercayai telah melakukan lebih 1,600 hubungan seksual sejak beberapa tahun lalu.
Apa yang mengejutkan, Jiao tidak mengenakan bayaran wang tunai, sebaliknya menerima ‘hadiah’ seperti buah-buahan, susu dan minyak masak daripada mangsa sebagai balasan hubungan tersebut.
Namun, mangsa tidak menyedari bahawa kediaman Jiao sebenarnya dipasang dengan kamera tersembunyi di pelbagai sudut.
Rakaman itu kemudiannya dijual kepada sebuah kumpulan dalam talian dengan harga sekitar 150 yuan (RM98).
Kegiatan jijik itu terbongkar apabila beberapa mangsa mula mengenali diri mereka dalam video yang bocor dan tersebar di media sosial termasuk platform Weibo.
Insiden itu menyebabkan sebilangan mangsa mengalami tekanan emosi dan malu apabila dikenali oleh rakan atau ahli keluarga.
Jiao kini ditahan pihak polis atas kesalahan menyebarkan bahan lucah, satu jenayah serius di bawah undang-undang China.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana skandal itu menjejaskan mangsa.
Pihak berkuasa kesihatan di Nanjing turut melahirkan kebimbangan berhubung risiko penularan penyakit kelamin berikutan jumlah pasangan yang tinggi serta kemungkinan hubungan dilakukan tanpa perlindungan.
Antara penyakit yang dibimbangi termasuk HIV, sifilis dan klamidia.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Nanjing memaklumkan mereka bersedia menawarkan pemeriksaan kesihatan kepada mana-mana individu yang berkemungkinan terlibat, namun maklumat perubatan Jiao tidak didedahkan demi menjaga privasi.
Pihak polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan semula video atau gambar mangsa yang tersebar.
Orang awam yang pernah berhubung dengan Jiao digesa segera mendapatkan nasihat dan rawatan perubatan.
Sumber: Sinar Harian