HIBURAN
Siap Ada Filter TikTok, Ini Antara Keunikan Lagu Meriah Lain Macam & Ketupat Nyam Nyam!
Kedatangan bulan Ramadan pada tahun ini dilihat begitu diserikan dengan peluncuran lagu-lagu Aidilfitri daripada pelbagai genre dan juga penyanyi.
Antara lagu raya yang memikat hati pendengar sejak ia dilancarkan di platform digital termasuklah Meriah Lain Macam nyanyian Hael Husaini dan Nyam Nyam Ketupat (Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy).
Selain melodi yang cepat ditangkap oleh halwa telinga dan lirik yang begitu dekat dengan pendengar, kedua-dua lagu ini turut mempunyai jejak istimewa di media sosial, iaitu TikTok filter.
Menjadi antara yang pertama di Malaysia, pendengar yang meminati lagu Meriah Lain Macam boleh berduet secara maya, dan memilih filter duet bersama dua penyanyinya, Hael Husaini atau Nadeera.
Sehingga artikel ini ditulis, lebih 7,000 video menggunakan filter berkenaan telah dikongsikan oleh peminat, menyokong lagu ciptaan Hael Husaini dan juga Iqie Hugh itu.
Sementara itu, bagi yang gemar mencabar diri mengumpul mata tertinggi, jangan lepaskan peluang untuk mencuba filter Nyam Nyam Ketupat yang turut boleh digunakan menerusi laman TikTok rasmi Rocketfuel Entertainment.
Penyanyi ketupat nyam nyam, Wani Kayrie dan MissAlvy turut mencuba filter tersebut dengan masing-masing memperolehi markah 116 dan 139.
Dalam pada itu, Nadeera turut meluncurkan single raya berjudul Dam Dim Dum Raya. Lagu berentak rancak ini dicipta sendiri oleh Nadeera bersama Acap Salim dan Arif Izo.
Ketiga-ketiga lagu raya ini sudah boleh distrim menerusi semua platform digital, termasuk klip video di Youtube.
Must-Watch Video