VIRAL
"Semua Guna Barang Premium, Beli Dari Thailand" - Dikecam Jual Air Balang RM8, Peniaga Dari Kelantan Turunkan Harga
Seorang peniaga air balang di Kampung Dangar Pasir Mas, Kelantan sanggup menurunkan harga apabila menerima kecaman teruk selepas menjual dengan harga RM8 untuk satu plastik berkandungan 1.5 liter.
Nor Ain Afiqah Fauzihan, 24, berkata, kecaman tersebut mulai tular di laman sosial selepas 10 hari dia berniaga sehingga menyebabkan hasil jualan sebanyak RM3,000 sehari menurun kepada RM900.
"Ini merupakan tahun ketiga saya berniaga air balang pada Ramadan, bermula pada harga RM5, RM7 dan kali ini RM8 satu plastik.
"Saya tidak menyangka menerima kecaman sebegini teruk, kerana barangan yang digunakan untuk menghasilkan kesemua 15 jenis air balang tersebut menggunakan barangan premium dan kebanyakannya dibeli dari Thailand," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut dia, harga yang ditetapkan itu bersesuaian dengan kos bahan mentah kerana mata wang Thailand lebih tinggi berbanding Malaysia.
Ujarnya, ia ditambah lagi dengan peningkatan kos bahan mentah sejak pangkalan haram di Sungai Golok ditutup sepenuhnya.
Nor Ain Afiqah memberitahu, dia juga menggunakan buah-buahan segar serta 7.5 kilogram (kg) susu pekat untuk satu balang air.
Dia berkata, kelainan resipinya pula ialah susu pekat akan dikisar bersama perisa terlebih dahulu sebelum dituang ke dalam balang, namun dengan penurunan harga ia tidak lagi dilakukan dengan cara begitu.
"Saya pernah cuba menggunakan barangan tempatan dan bukannya dari Thailand, namun rasanya tidak sama serta kurang enak.
"Jadi tiada pilihan, barangan dari sana (Thailand) terpaksa diperlukan walaupun harga mahal. Namun melihat pelanggan ramai lari selepas kecaman tersebut, saya dengan rela hati menurunkan harga kepada RM5 di mana air tersebut dijual tanpa ais krim serta buah-buahan segar," katanya.
Nor Ain Afiqah berkata, pada tahun pertama perniagaan dia hanya menawarkan lima balang air sahaja kini mencecah 15 dan menu sentiasa bertukar sepanjang Ramadan.
Tambahnya, antara air yang dijual ialah susu karamel, buttercream cheese latte, redvelvet cream cheese, blue lemon, pelbagai jenis mojito, susu pisang, bluemint, koktail buah dan banyak lagi.
Must-Watch Video