HIBURAN
Sedih Lihat Haiwan Disembelih, Thanuja Pilih Jauhkan Diri Dari Media Sosial - "Hati Saya Hancur..."
Pelakon dan model, Thanuja Ananthan menzahirkan rasa sedih dan mengakui emosinya terganggu setiap kali melihat haiwan disembelih sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Menurut Thanuja, dia sukar mengawal perasaan setiap kali melihat video penyembelihan lembu dan kambing yang tular di media sosial.
“Setiap tahun bila tiba Aidiladha, saya rasa sangat sedih melihat lembu dan kambing disembelih.
“Bila tengok video mereka, terutamanya bila mereka menangis, hati saya rasa hancur tengok mata mereka. Saya rasa kasihan sangat pada mereka.
“Saya faham ini adalah satu perayaan dan saya tak berniat nak kurang ajar, tapi saya tidak dapat tahan rasa sedih kepada lembu dan kambing,” katanya menerusi hantaran di platform Threads.
Dalam perkongsian sama, Thanuja turut mengakui sukar untuk memahami konsep penyembelihan haiwan, khususnya apabila haiwan itu telah dibela dan dijaga seolah-olah seperti sebahagian daripada keluarga.
“Kenapa perlu dibesarkan, kemudian disembelih? Saya tak boleh nak faham, walau macam mana saya cuba.
“Dah macam anak sendiri. Jadi macam haiwan peliharaan. Haiwan itu pun tak akan faham, sebab itu mereka menangis.
“Hari ini saya rasa perlu jauhkan diri dari media sosial. Terlalu banyak video penyembelihan. Hati saya tak mampu tengok lagi,” ujarnya.
Bagaimanapun, bekas Miss World Malaysia 2009 itu turut berterima kasih kepada warganet beragama Islam yang memberikan respons penuh hormat terhadap pandangannya.
Malah, ada juga yang memberi penerangan mereka dengan baik terhadap perkara tersebut.
“Terima kasih kepada semua saudara Muslim saya di sini (Threads) yang meluangkan masa untuk bersikap baik dan sabar dengan apa yang saya rasa hari ini.
“Anda semua sangat sabar menerangkan dan mendidik saya dari pelbagai sudut pandangan.
“Saya sangat menghargai dan menghormati semua pendapat anda. Terima kasih, semua. Hanya kasih sayang dan niat yang baik sentiasa,” jelasnya lagi.
Malah, Thanuja turut memaklumkan dia tidak berniat untuk bersikap bongkak atau menyakiti mana-mana pihak, sebaliknya hanya meluahkan pandangan secara peribadi.
“Saya cuba fahami, tidak berniat bongkak dan bukan untuk menyakiti.
"I have always known the grace, mercy & benevolence behind Aidiladha,” katanya.
"I have always known the grace, mercy & benevolence behind Aidiladha,” katanya.
Sumber: Threads
Must-Watch Video