HIBURAN
Fanzi Ruji ‘Berharap’ Tembusi Mainstream Dengan OST Drama Michael Ang - "Ia Satu Exposure Besar Saya"
Selepas lebih sedekad bergelumang dalam dunia seni, penyanyi kelahiran Ranau, Sabah, Mohd Rifanzi Ruji atau lebih dikenali sebagai Fanzi Ruji, 37, kini tampil dengan single terbaharunya, Berharap.
Lagu ciptaan bersama Reza Ramsey ini sebenarnya sudah siap sejak tahun lalu, namun Fanzi memilih untuk ‘memerapnya’ sementara menunggu peluang yang tepat.
Segalanya menjadi nyata apabila Berharap terpilih sebagai lagu tema drama arahan Michael Ang, Kerana Seorang Lelaki, yang mula ditayangkan bulan ini.
“Saya bersyukur kerana lagu ini akhirnya dilancarkan seiring dengan penayangan drama tersebut. Terima kasih kepada Marsha Londoh Entertainment yang mengusahakan dan mencadangkan lagu ini kepada Michael Ang.
"Ini satu exposure yang sangat besar untuk saya,” katanya kepada Gempak.
Fanzi mula berkecimpung dalam nyanyian sejak 2011. Namun, langkahnya ke arus perdana hanya benar-benar bermula pada 2020 ketika tempoh PKP, menerusi single Hati Nan Rapuh.
Tahun berikutnya, Fanzi tampil bersama Marsha Milan dalam lagu Ikano yang menjadi OST drama Love Elsa, diikuti Mata Hati pada 2023.
Sejak tahun lalu, Fanzi nekad berpindah ke Kuala Lumpur untuk memberi tumpuan penuh kepada kerjaya.
“Kalau nak serius dan tembus mainstream, KL adalah lubuknya,” ujarnya yang kini bertugas sebagai tenaga pendidik di sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur.
Walaupun perjalanan seni tidak mudah, Fanzi tetap bertahan dengan prinsip yang jelas menjadikan nyanyian adalah passion, bukan semata-mata untuk mengejar populariti.
“Menyanyi adalah terapi untuk saya. Saya tak letak ekspektasi tinggi, jadi karya lebih ikhlas. Kalau lagu tak pergi jauh atau tak viral, saya tak kecewa. Saya terima seadanya, kalau viral, syukur, kalau tidak, saya akan terus berkarya.
"Nyanyian adalah ‘food for my soul’, lebih kepada kepuasan peribadi, bukan untuk famous,” jelasnya.
Drama Kerana Seorang Lelaki dibintangi barisan pelakon hebat termasuk Harissa Adlynn, Daniel Fong, Nabil Aqil, Dr. Soo Wincci, Marissa Yasmin, Arena Lieya, Kahoe Hon, Aiman Ameer dan ramai lagi.
Kerana Seorang Lelaki mula bersiaran sejak 11 Ogos lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang menerusi saluran Astro Prima, Astro One, dan Sooka.
Must-Watch Video