“Saya Hanya Ikut Sahaja Orang Cakap” - Syazwan Razak Dedah Rahsia Kuruskan Badan
Penyampai radio dan personaliti media sosial, Syazwan Razak, mengakui dia perlu menurunkan berat badan kerana minatnya dalam dunia fesyen.
Jelas Syazwan, jika saiz badannya lebih kecil, dia akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk bereksperimen dengan pelbagai jenis pakaian.
Disebabkan itu, dia merasakan perlu melakukan transformasi pada tubuhnya agar dapat menggayakan pelbagai jenis pakaian dengan lebih bebas.
“Saya hanya ikut sahaja apa yang orang cakap, iaitu jaga makan, jaga tidur dan bersenam. Saya buat benda-benda basic je la.
“Saya suka berfesyen. Bagi saya, kalau saya boleh kecilkan saiz badan, mungkin saya boleh kembangkan lagi gaya berpakaian saya. Dari situlah saya mendapat inspirasi untuk mengurangkan sedikit berat badan kerana saya suka pakai itu dan ini,” katanya kepada Gempak.
Diet dan Disiplin
Pada masa yang sama, adik kepada Syafiq Kyle itu turut menyatakan dia cuba mengawal pemakanannya dengan mengelakkan diri daripada makan malam.
Ini kerana dia tidak mahu mengambil makanan yang terlalu berat pada waktu malam, yang boleh memberi kesan buruk dalam proses penurunan berat badannya.
“Kalau saya boleh tahan, saya tak akan makan malam. Last saya makan sebelum pukul 7 malam sahaja. Tapi tidaklah makan yang terlalu berat. Cumanya, saya sukat makanan saya sedikit, iaitu saya makan nasi hanya sekali sehari sahaja,” kongsinya.
Bagaimanapun, Syazwan juga berkongsi dia perlu bertegas dengan dirinya sendiri dalam usaha menjaga pemakanan. Oleh itu, dia menekankan bahawa disiplin dalam pemakanan adalah kunci utama dalam menurunkan berat badan.
“Kalau korang nak kurus, korang semua kena cuba dan kena marah diri sendiri untuk jaga cara pemakanan sendiri. Disiplin dalam pemakanan sangat penting kerana ia adalah kunci utama dalam menurunkan berat badan.
“Pada awalnya, saya sendiri akui sangat susah untuk ikut cara pemakanan yang macam itu, tapi lama-kelamaan semuanya akan okay dengan gaya hidup yang baharu,” jelasnya.