Astro Audio dengan bangganya mengumumkan pelancaran aplikasi mudah alih terbaharu yang membolehkan pendengar menikmatisemua stesen radio kegemaran mereka secara langsung melalui satu platform khusus.
Aplikasi ini menawarkan cara yang lebih mudah dan pantas untuk rakyat Malaysia mendengar rangkaian penuh stesen radio di bawah Astro Audio, pada bila-bila masa dan di mana sahaja dengan kualiti penstriman yang lebih baik, kandungan diperibadikan dan pengalaman pengguna yang lebih menarik.
Ketua Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, berkata pelancaran aplikasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Astro Audio untuk mendekatkan kandungan radio kepada para pendengar melalui teknologi digital.
“Dalam dunia hari ini yang serba pantas, kami memahami keperluan untuk akses segera dan mudah, dan itulah yang kami sediakan melalui aplikasi ini.
“Kini, setiap stesen radio di bawah Astro mempunyai aplikasi masing-masing yang menawarkan penstriman langsung, kandungan eksklusif dan pelbagai ciri interaktif yang menjadikan pengalaman mendengar lebih peribadi dan bermakna.
Dengan sokongan daripada pasukan kandungan kami yang kreatif serta penggunaan data dan teknologi yang pintar, kami yakin aplikasi ini bukan sahaja akan menarik pendengar sedia ada, tetapi juga generasi baharu yang lebih gemar mengakses kandungan melalui peranti mudah alih. Ini adalah permulaan kepada transformasiaudio digital yang lebih besar di Astro Audio,” katanya.
Sebanyak 13 stesen radio popular di bawah Astro kini boleh diakses melalui aplikasi khusus masing-masing, memberikan pengguna lebih fleksibiliti untuk memilih pengalaman audio yang paling sesuai dengan gaya hidup mereka sama ada ketika memandu, bersenam, bekerja atau berehat di rumah.
Inisiatif ini menyerlahkan komitmen Astro untuk memperkukuh identity setiap stesen dengan menyampaikan kandungan yang selari dengan gaya kandungan stesen dan memastikan hubungan yang lebih erat dengan komuniti pendengar.
Aplikasi-aplikasi ini kini boleh dimuat turun di App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery. Sama ada anda peminat muzik terkini, berita, gosip hiburan, motivasi ataulagu-lagu klasik, semuanya kini hanya di hujung jari anda.