HIBURAN
Saiful Apek Tak Sabar Tunggu Kepulangan Yassin, Mahu Segala Spekulasi Berakhir - “Lebih Afdal Sekiranya Tuan Badan Sendiri Yang Bercerita”
Pelawak, Saiful Apek akui berasa sedikit kecewa apabila niat untuk menyambut kepulangan sahabat baiknya iaitu Yassin ke Malaysia tidak kesampaian.
Menurut Apek, perkara itu berlaku susulan terdapat beberapa prosedur yang perlu dijalani oleh Yassin yang kini ditahan di Arab Saudi sebelum pulang ke negara ini.
“Sebelum ini saya pernah beritahu dia balik sebelum Aidilfitri tetapi ini melibatkan antara kerajaan.
“Ada beberapa masalah seperti visa, tiket dan sebagainya selain dia juga perlu melalui satu lagi proses pemindahan.
“Saya tak tahulah macam mana dia prosedurnya tetapi apa yang saya boleh cakap, insya-Allah dalam masa yang terdekat ini,” katanya.
Apek berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya berjudul 6 Jilake yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Apek juga menyatakan rasa tidak sabar untuk bertemu sahabatnya dan mendengar sendiri penjelasan apa yang berlaku di sana.
“Saya rasa apabila dia sampai sahaja, saya memang akan sambut dia, bagaimanapun saya rasa kita kena bagi dia berehat dulu.
“Saya pasti ada banyak benda yang dia mahu kongsikan, saya memang tak sabar.
“Bukan apa kita tak mahu andaian atau pun tohmahan terhadap dirinya berlarutan. Saya mahu semuanya berakhir.
“Jadi rasanya lebih afdal sekiranya tuan badan sendiri yang bercerita menegenai apa sebenarnya yang berlaku.
“Sebab setahu saya di sana itu tu hukumannya sangat ketat, kalau ada berlaku perkara perkara seperti itu memang akan dikenakan hukuman hudud,” jelasnya.
Terdahulu, tular spekulasi selepas berita mendakwa rakannya itu ditahan di Lapangan Terbang Raja Abdulaziz, Jeddah pada Oktober tahun lalu kerana memiliki ganja.
Malah ketiadaan Yassin sebelum ini menjadi tanda tanya apabila dia dilihat tidak bersama kumpulan Senario dalam beberapa acara.
Must-Watch Video