HIBURAN
Raih 100K Tontonan Dalam 2 Hari, Alpha Jumpa Peminat Tanda Terima Kasih
Tidak sampai dua hari selepas dilancarkan, kumpulan Alpha mencipta pencapaian membanggakan apabila muzik video debut mereka, Monalisa (Bang Bang) berjaya meraih lebih 100,000 tontonan di YouTube.
Mewakili kumpulan Alpha , Daniel Sher berkata pencapaian itu adalah sesuatu yang tidak dijangka dan menjadi bukti sokongan kuat daripada peminat mereka yang dikenali sebagai Alphanite.
“Kami rasa sangat gembira sebab dalam masa sehari kami berjaya mendapat 100K tontonan. Kami sangat-sangat berterima kasih kepada peminat kerana menyokong kami semua disini.
“Walaupun malam pelancaran sedikit lambat tapi mereka setia menanti MV itu dan inilah hasilnya, terima kasih semua,” ujar Daniel kepada Gempak.
Sementara itu, Izat Ibrahim turut mengakui mereka terbuka menerima segala kritikan yang diberikan oleh netizen.
“Kami menerima setiap komen dengan hati yang terbuka dan ambil ia sebagai pembakar semangat kami untuk improve lagi apa yang kami buat.
“Kami tahu setiap apa yang kita lakukan ada orang akan suka ada yang tidak jadi kita raikan sahaja komen-komen yang mereka berikan kepada kami, apa-apa pun terima kasih kepada anda yang menyokong kami dan memberi kritikan yang membina,” tambah Izat.
Teruja dengan sokongan luar biasa daripada peminat, anggota kumpulan Alpha yang terdiri daripada Daniel Sher, Rizal Rashid, Izat Ibrahim, Ariel Fesol, Araff dan Sky turut meluangkan masa bertemu peminat sebagai tanda penghargaan.
Terdahulu, Alpha berjaya mencapai lebih 50,000 tontonan di platform Youtube kurang daripada 24 jam. Jangan lupa stream dan saksikan video muzik rasmi Mona Lisa (Bang Bang) di Youtube dan audio di semua pelantar digital.
Must-Watch Video