VIRAL
Kes Dera, Rogol, Bagi Makanan Basi… Ini Deretan Kisah Gelap Pusat Jagaan Anak Yatim Yang Pernah Menggemparkan Malaysia
Pusat jagaan sering digambarkan sebagai tempat perlindungan yang selamat untuk anak yatim dan golongan memerlukan.
Namun, di sebalik itu, ada juga kisah-kisah ‘gelap’ yang mungkin jarang diceritakan kepada umum.
Menerusi tinjauan Gempak, terdapat beberapa kes yang mendapat perhatian ramai, termasuk isu penderaan fizikal dan kes rogol oleh pihak pengurusan sendiri.
Berikut merupakan antara kes melibatkan pusat jagaan yang pernah menggemparkan Malaysia:
Kes OP GLOBAL: 572 Mangsa Diselamatkan
Pada 11 September 2024, polis menyerbu 20 rumah kebajikan milik Global Ikhwan Holdings (GISB) dan menyelamatkan 402 kanak-kanak pada fasa pertama operasi.
Kes itu terbongkar selepas tular rakaman video memaparkan penderaan fizikal dan seksual terhadap penghuni kanak-kanak di beberapa rumah kebajikan milik GISB.
Rakaman itu menjadi bukti kukuh yang mendorong polis melancarkan operasi besar-besaran dikenali sebagai Op Global.
Pada fasa pertama operasi yang dijalankan, polis menyerbu 20 rumah kebajikan di bawah pengurusan GISB dan menyelamatkan 402 kanak-kanak.
Gelombang kedua pula membawa kepada penemuan 170 lagi mangsa, termasuk yang mengalami trauma akibat penderaan seksual dan fizikal.
Keseluruhannya, 572 mangsa berjaya diselamatkan, manakala 171 individu termasuk penjaga ditahan.
Selain itu, antara Februari hingga September 2024, seorang penjaga pusat jagaan GISB di Rawang, Mohd Syahid Hanapiah, didakwa mendera seorang budak lelaki berusia enam tahun dengan merotan dan membaling mangsa.
Pihak berkuasa percaya penderaan ini berlaku bertahun-tahun tanpa didedahkan.
Kes Dera di Cheras – Kanak-Kanak Dikurung & Diberi Makanan Hampir Basi
Sementara itu, pada 10 April 2025, sebuah pusat jagaan di Cheras diarahkan tutup serta-merta selepas video penderaan tular di media sosial.
Seramai 18 kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas rakaman menunjukkan mereka dikurung di dalam bilik sempit dan hanya diberi makanan tamat tempoh.
Dua penjaga dipanggil polis untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap keadaan pusat jagaan dan melaporkan sebarang tanda penderaan bagi mengelakkan kejadian tragis berulang.
Kes Rogol & Pukul Penghuni Di Pusat Jagaan Kulai
Pada 30 November 2024, pengerusi sebuah pusat jagaan swasta di Kulai ditahan kerana merogol penghuni remaja sehingga mangsa mengandung.
Tidak lama kemudian, suspek yang sama sekali lagi diberkas selepas rakaman CCTV menunjukkan dia memukul seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.
Pusat jagaan berkenaan ditutup sementara dan semua penghuni dipindahkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bayi 4 Bulan Retak Tengkorak Didera Pengasuh
Pada Januari 2023, seorang bayi berusia empat bulan di Batu Buruk, Terengganu, koma selepas mengalami pendarahan otak dan retak tengkorak dipercayai akibat penderaan di sebuah taska.
Tiga pengasuh ditahan untuk siasatan lanjut, manakala lesen pengoperasian taska tersebut digantung sementara.
Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap keadaan pusat jagaan serta segera melaporkan sebarang tanda penderaan bagi mengelakkan tragedi berulang.
Kesemua kisah ini menggambarkan bahawa tidak semua pusat jagaan dapat menjamin keselamatan, kebajikan dan kasih sayang yang sepatutnya menjadi hak setiap anak yatim.
Walaupun begitu, tidak semua kisah anak yatim di pusat jagaan berakhir dengan tragis.
Ada juga yang membawa inspirasi, seperti kisah benar yang diangkat ke layar perak menerusi filem Abah Saya Uncle Mike.
Filem bergenre drama itu akan ditayangkan bermula 28 Ogos ini.
Filem itu mengisahkan Uncle Mike, seorang lelaki Cina berhati emas yang secara tidak sengaja terlibat dalam kehidupan tiga beradik yatim piatu Melayu. Kisah mereka bermula di sebuah pusat jagaan sebelum dijaga dan dibesarkan oleh Uncle Mike dengan penuh kasih sayang, bimbingan rohani serta penghormatan terhadap agama mereka.
Kisah ini menjadi bukti bahawa keluarga tidak semestinya terikat dengan darah, dan kasih sayang sejati mampu melangkaui perbezaan bangsa dan agama.
Must-Watch Video