BERITA
Penolong Pengarang Berita Hiburan BH Meninggal Dunia
Dunia kewartawanan hiburan kehilangan salah seorang pengamal media paling berpengaruh apabila Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, meninggal dunia pada usia 49 tahun.
Memetik laporan Berita Harian, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Sungai Long, Kajang kira-kira jam 2 petang selepas mengadu sakit badan dan sukar bernafas.
Jenazah telah dibawa ke Hospital Kajang bagi tujuan bedah siasat sebelum dijangka dibawa pulang ke kampung halaman di Kuala Terengganu untuk dikebumikan.
Menurut pembantu rumah arwah, Khusnul Khotimah, 23, Allahyarham sudah dua minggu dalam keadaan kurang sihat dan tidak selesa tinggal bersendirian.
“Pagi tadi arwah minta saya urutkan sebab sakit badan. Saya juga suapkan air tetapi arwah seperti tidak boleh telan dan terus muntah. Kesihatan dia makin merosot lepas tu,” katanya.
Khusnul memaklumkan beliau panik dan segera meminta bantuan dari jiran selepas keadaan arwah memburuk secara tiba-tiba.
Allahyarham memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan pada usia 18 tahun sebagai wartawan sambilan BH di Kuala Terengganu sebelum dilantik menjadi wartawan tetap di Harian Metro (HM).
Sepanjang lebih tiga dekad dalam industri, Raja Nurfatimah dikenali menerusi liputan eksklusif, khasnya dalam dunia hiburan tempatan. Beliau pernah menghasilkan laporan mendalam tentang penderitaan penyanyi veteran Sahara Yaacob, serta banyak menulis mengenai Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Noorkumalasari, dan keluarga Datuk Yusof Haslam.
Arwah juga pernah bertugas dalam unit berita dan jenayah sebelum kembali memfokuskan kepada bidang hiburan. Pada tahun 2017, beliau dianugerahkan Anugerah Penulis Pojok Terbaik dalam Anugerah Kecemerlangan Industri Filem Malaysia (AKIFMA)menerusi ruangan “Desas Desus”.
Pemergian Raja Nurfatimah Mawar amat dirasai oleh rakan-rakan media, artis dan pengamal industri yang mengenali beliau sebagai wartawan berintegriti dan berdedikasi tinggi terhadap kerjayanya.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.
Sumber: Berita Harian
Must-Watch Video