VIRAL
Kes Zara Qairina: Peguam Wakili Secara Percuma, Nafi 5 Tertuduh Membuli Anak VVIP
Semua peguam yang mewakili lima remaja yang didakwa membuli Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberikan khidmat pembelaan kepada tertuduh secara pro bono (percuma).
Tanpa mendedahkan identiti atau status tertuduh, Datuk Ram Singh menegaskan bahawa anak guamnya bukanlah anak kepada mana-mana individu ternama atau VVIP.
"Anak guam kami bukan anak VVIP, sebaliknya seorang remaja yang juga berhak mendapat pembelaan di sisi undang-undang.
"Kami didekati oleh keluarga untuk mendapatkan bantuan guaman, dan bersama peguam lain, kami mewakili mereka secara pro bono," katanya ketika ditemui NST sebelum prosiding di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak bermula pagi ini.
Pro bono merujuk kepada perkhidmatan yang diberikan secara percuma oleh peguam kepada individu atau organisasi yang tidak mampu membayar yuran guaman.
Ram bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang daripada lima tertuduh.
Empat yang lain pula diwakili oleh peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.
Mereka turut menegaskan bahawa anak guam masing-masing bukan daripada keluarga VVIP.
Menurut Azhier, tertuduh yang diwakilinya juga berhak diberi peluang untuk mengemukakan keterangan bagi menyokong pembelaan.
"Anak guam kami berhak mendapat perlindungan yang dijamin undang-undang, termasuk hak untuk mengemukakan bukti dan keterangan di mahkamah," katanya.
Terdahulu, lima remaja berkenaan didakwa di Mahkamah Juvana di sini atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap terhadap Allahyarham Zara Qairina. Mereka mengaku tidak bersalah.
Prosiding dijalankan secara tertutup dengan kawalan keselamatan ketat.
Selepas perbicaraan, media dimaklumkan bahawa Ram telah memohon perintah larangan (gag order), yang sekali gus menghalang pendedahan lanjut mengenai apa yang berlaku sepanjang prosiding di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.
Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu. BERITA HARIAN
Must-Watch Video