VIRAL
Kes Zara Qairina: Peguam, Ram Singh Mohon 'Gag Order' Daripada Mahkamah Kanak-Kanak - TPR
Peguam, Datuk Ram Singh memohon perintah larangan bersuara atau gag order daripada Mahkamah Kanak-Kanak semasa prosiding bagi lima remaja yang dikaitkan dengan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir, pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nor Azizah Mohamad semasa ditemui di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah.
"Peguam, Datuk Ram Singh," jawabnya ringkas kepada pemberita apabila ditanya siapa yang memohon perintah larangan bersuara itu.
Ditanya apa boleh dilaporkan berikutan perintah larangan itu, Nor Azizah berkata, media boleh melaporkan bahawa pertuduhan sudah dibacakan dan remaja terbabit tidak mengaku bersalah serta butiran mengenai jaminan.
Beliau juga mengingatkan bahawa umur kelima-lima remaja itu tidak boleh didedahkan.
Terdahulu, lima remaja yang dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak berkenaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Nor Azizah berkata, semua tertuduh dibenar ikat jamin RM5,000 serta seorang penjamin dengan RM1,000 sebagai deposit.
"Tidak ada pengakuan salah, 25 September ini tarikh sebutan semula. Setiap tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan RM1,000 deposit dan seorang penjamin," katanya.
Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima tertuduh mencapai niat bersama dengan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina di sebuah sekolah di Papar pada jam 10 hingga 11 malam, 15 Julai lalu.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya pada 16 Julai dan disahkan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.
Sumber: Berita Harian
Must-Watch Video