VIRAL
Pengantin Pilih Naik Kereta Jenazah Di Majlis Kahwin, Dedah Sebab Utama - “Semua Tetamu Kami Terkejut”
Seorang wanita di Brazil, baru-baru ini, memilih untuk tiba di majlis perkahwinannya menaiki kereta jenazah berbanding kereta klasik dan memberikan alasan yang cukup pelik di sebalik keputusan itu, lapor Daily Star.
Daniela Signor, 33, mencetuskan kekecohan di media sosial apabila dia berkahwin dengan pasangannya, Apollo Scariot, 31, di kawasan berhampiran Sao Paulo, Brazil.
Daniela menarik perhatian apabila berkongsi video majlisnya di internet. Ramai memuji penampilannya, tetapi sebahagian lagi keliru dengan pilihan kenderaan perkahwinannya.
"Semua orang di majlis perkahwinan terkejut, tetapi semasa kami melafazkan ikrar, kami jelaskan segalanya dan baca kisah kami. Kemudian barulah orang faham kenapa saya tiba dengan kereta jenazah," kata Daniela kepada Jam Press.
Suami Daniela adalah seorang pengurus rumah mayat dan wanita itu menjelaskan dia pertama kali melihat Scariot semasa upacara pengebumian kenalannya pada April 2023.
Daniela begitu tertarik kepadanya sehingga dia sanggup hadir ke beberapa pengebumian lain yang dikendalikan oleh Scariot, semata-mata untuk menarik perhatian lelaki itu.
Lebih setahun berlalu sebelum Scariot menyedari Daniela kerap muncul di majlis pengebumian. Mereka mula bercinta pada musim panas tahun lalu, dan kini sah bergelar suami isteri.
"Saya selalu fikir, 'Saya peluk ahli keluarga si mati pun tak apa, janji dapat tengok dia.' Tapi dia bukan selalu ada. Dia langsung tak tahu, saya hanya beritahu (perkara ini) bila kami mula berbual.
"Masa itu dia terkejut dan kata, 'Macam mana aku tak perasan kau sebelum ni?'. Dia memang terlalu fokus pada kerja," kata Daniela.
Scariot pula berkata, dia terkejut dengan perhatian luar biasa yang diterima hasil tindakan isterinya menggunakan kereta jenazah semasa majlis perkahwinan.
Baginya, majlis pengebumian adalah sebahagian daripada kisah cinta mereka.
"Kami langsung tak sangka. Kami putuskan untuk datang dengan kereta jenazah syarikat saya sebab itu sebahagian daripada kisah kami iaitu cara kami bertemu. Jadi, kami memang tak jangka akan dapat perhatian sebegini," katanya.
Mereka menampal sepanduk putih di tingkap belakang kereta jenazah berkenaan supaya kelihatan lebih sesuai dengan suasana perkahwinan, tetapi tetap mengekalkan elemen asal kenderaan itu.
Sumber: Daily Star
Must-Watch Video