BERITA
Nama Johan As'ari Pernah Ditolak Produksi Sebab Kerap Hilang Di Lokasi Penggambaran
Pelakon popular, Johan As'ari pernah berdepan situasi di mana namanya ditolak pihak produksi kononnya dia berdepan masalah disiplin.
Jelasnya, alasan dia mempunyai masalah disiplin kerana sering hilang di lokasi penggambaran sebenarnya bukan isu yang sepatutnya digunakan pihak produksi terhadapnya.
Johan mengakui dia hilang kerana pergi ke masjid untuk bersolat ketika penggambaran berhenti rehat.
"Memang pernah nama saya, orang (produksi) tak nak sebab waktu makan tengahari saya hilang pergi masjid.
"Begitu juga ketika berhenti minum petang, saya pergi masjid sehingga produksi tak nak ambil saya lagi sebab saya kerap hilang.
"Saya ke masjid itupun jika masjid dekat dengan lokasi penggambaran, jika tidak saya hanya bersolat di lokasi," katanya dalam program bual bicara terbaru, Planet Mawi, baru-baru ini.

Ujarnya, meskipun dia solat bukan pada awal waktu tetapi dia percaya jika dia sebagai pelakon mampu melakukan perkara wajib sebagai muslim, artis lain yang beragama Islam juga tiada alasan untuk meninggalkan solat dengan sengaja.
Johan mengakui, dia tidak mahu artis lain terasa hati apabila ditegur bab solat tetapi berserah pada Allah untuk membuka hati individu tersebut.
"Saya lebih suka kita semua sentiasa berkasih sayang dan tidak bersengketa walaupun hal solat. Saya percaya kita semua akan kembali kepada Allah dan buat apa-apapun biarlah kerana Allah," katanya.

Johan muncul sebagai tetamu undangan untuk segmen Orang Berani Minggu Ini dalam program terbaru, Planet Mawi yang disiarkan menerusi Facebook Live pada setiap Jumaat, jam 9.33 malam bermula 10 Ogos lalu.
Program terbitan Mawi World Entertainment dengan kerjasama Teddy Rox Film bersiaran secara langsung dari Ladiesfoto Studio, Petaling Jaya, Selangor itu berjaya mencatat lebih 10,000 tontonan untuk episod pertama.

Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: IG @johanarrif & Astro Gempak
Must-Watch Video