HIBURAN
Melly Goeslaw Gelar Misha Omar Diva Malaysia, Pesan Jangan ‘Rehat’ Dengar Break
Penyanyi Misha Omar muncul dengan karya terkininya yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pendengar.
Diberi judul Break, lagu yang sudah mula boleh didengar di semua platform konvensional dan digital sejak 20 Jun itu tidak memerlukan masa yang lama untuk hit.
Sementelah, Break dihasilkan oleh komposer berkaliber Indonesia, Melly Goeslaw. Menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, Melly mengelar Misha Omar sebagai Diva Malaysia dan cukup bertuah kerana setelah sekian lama dapat memberi sentuhan magis kepada penyanyi yang telah lama diminatinya ini.
“Senang sekali diberi kesempatan dan kepercayaan membuatkan lagu untuk Diva Malaysia.
“Saya sudah lama minat dengan Misha Omar. Sebagai peminat filem horror, saya pun senang dengan OST Harum Sundal Malam 1 dan 2 yang dinyanyikan Misha.
“Alhamdulillah tahun ini ada rezeki membuat lagu untuk Misha,” tulisnya di Instagram dengan latar foto dan lagu Break.
Bersama rakaman penghargaan itu, Melly juga menitip pesan agar peminat mendengarkan Break yang mendapatkan khidmat Tohpati sebagai penerbit didengar di seluruh platform.
“Dengar terus lagu ini ya, jangan Break,” tulisnya lagi.
Terdahulu Misha menerusi kenyataan media menyatakan dirinya telah memberanikan diri menghantar DM kepada Melly untuk melamarkan sebagai komposer.
Dan sejak itu kolaborasi Nusantara antara Misha serta Melly mula terjalin sehingga Break direalisasikan.
“Saya peminat Melly dan sudah lama ingin mendapatkan lagu sentuhan beliau buat saya. Jadi saya beranikan diri untuk melamar Melly melalui DM. Dan tahu-tahu kami sudah berkolaborasi. Alhamdulillah.
“Semoga Break menyentuh hati dan jiwa semua peminat,” ujar Misha yang kali terakhir mengeluarkan single pada tahun lalu.
Must-Watch Video