Mahu Eratkan Ukhuwah Dengan Anak-Anak, Shuib Rancang Ada Zuriat Dengan Watie - "Ini Masa Yang Sesuai Untuk ..."
Pelawak dan usahawan Shuib berkongsi dia dan isterinya, Watie, sudah bersedia untuk menimang cahaya mata pertama mereka selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
Jelas Shuib, atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 41, hasrat tersebut telah disampaikan kepada Watie ketika mereka menunaikan umrah pada tahun lalu.
"Sebenarnya, perkara ini terjadi ketika kami pergi umrah baru-baru ini. Watie pada awalnya takut nak beritahu saya yang dia mahukan anak. Watie ni, semua benda dia takut nak cakap dengan saya.
"Jadi ketika umrah itu, saya yang buka mulut menyatakan keinginan untuk mempunyai anak, dan Watie adalah orang yang paling gembira pada masa itu.
"Sekarang ini pun, Ayyash (anak keempatnya bersama Allahyarham Siti Sarah) sudah berusia empat tahun, jadi saya rasa ini adalah masa yang sangat sesuai untuk tambah anak," katanya kepada Gempak.
Shuib berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Gempak Most Wanted Awards 2024 yang berlangsung di Dadi Cinemas, Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah pelawak itu, hasrat tersebut bukanlah sekadar simbolik dalam perkahwinan mereka, tetapi dia mahu mengeratkan lagi hubungan Watie dengan anak-anak Allahyarham Siti Sarah.
"Saya fikir semua anak saya adalah anak tiri kepada Watie. Jadi, jika apa-apa berlaku pada masa depan, tidak ada ikatan yang boleh menghubungkan Watie dengan anak-anak saya.
"Kalau kata saya tiada nanti, anak-anak mungkin boleh menjauhkan diri daripadanya. Tetapi jika kami ada anak bersama, mereka boleh lebih rapat melalui hubungan dengan adik mereka yang baru," ujarnya.
Untuk rekod, Watie dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.
Sebelum itu, Shuib pernah berkahwin dengan Allayarham Siti Sarah namun penyanyi berkenaan meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat Covid-19.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 13, Dzahira Talita Zahra, 11, Ariq Matin, 8 dan Ayash Affan, 4 tahun.