Laman Utama
Lee Chong Wei Bergenang Air Mata Lihat Kemenangan Liek Hou - "Terus Berpeluk Bersama Rashid"
Rata-rata rakyat Malaysia kini menumpukan perhatian terhadap Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hampir menutup tirai.
Antara yang masih menjadi perbincangan hangat dan wargamaya adalah momen momen yang tercipta semasa dan selepas perlawanan yang membabitkan atlet negara. Ini termasuklah aksi pemenang sulung sukan badminton para 2020, Cheah Liek Hou yang meraikan kejayaannya bersama sosok penting dalam kariernya, Datuk Rashid Sidek.
Dalam lapangan sukan, khususnya badminton, Rashid Sidek adalah legenda negara dan dunia. Beliau yang merupakan anak bongsu dari lima beradik pada zaman kegemilangannya beraksi sebagai pemain badminton disegani.
Rashid kini menjadi jurulatih Liek Hou, sementara abangnya, Misbun Sidek satu ketika dahulu pernah menjadi jurulatih pesohor badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei.
Baik Misbun ataupun Rashid, kedua duanya telah berjaya menerajui dan membimbing pemain negara sekaligus menjuarai kejohanan bertaraf dunia.
Petang semalam, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou beraksi sekaligus mengalahkan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi menerusi kemenangan bergaya, 21-17 dan 21-15.
Detik perlawanan itu turut mendapat perhatian legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengucapkan tahniah kepada Liek Hou dan barisan atlet paralimpik negara.
Selain itu, Chong Wei juga akui terharu sehingga bergenang air mata melihat kemenangan Liek Hou yang berpelukan bersama jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek.
"Tahniah kepada Cheah Liek Hou!
"Berdebar saya menonton wira negara ini beraksi. Bergenang air mata saya apabila Cheah memenangi mata kemenangan dan terus berpeluk bersama Rashid.
"Tahniah juga kepada Bonnie Bunyau Gustin, Chew Wei Lun dan Jong Yee Khie kerana mengharumkan nama Malaysia! Sangat sangat thank you!
"Syabas juga seharusnya diucapkan kepada atlet-atlet paralimpik negara. We are so proud of u guys," coretnya menerusi Facebook.
Ketika perlawanan yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi semalam, Liek Hou melakar kejayaan dengan menyumbang pingat emas kedua kepada negara.
Sebelum ini, Liek Hou bergelar juara mengalahkan Dheva ketika beraksi pada April dalam Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Dubai.
Kemenangan semalam juga menjadikan Liek Hou pemenang emas sulung memandangkan badminton baru pertama kali dipertandingkan di Sukan Paralimpik.
Kredit Foto: Majlis Sukan Negara
Must-Watch Video