HIBURAN
Universe Gateway Ambil Iktibar, Janji Konsert Rabbani Lebih Terurus - “Kami Tak Pernah Lari…”
Penganjur Konsert Intifada Rabbani iaitu Universe Gateway mengambil iktibar dan memberi jaminan bahawa kesilapan yang berlaku pada Konsert Journey Of Sound: Judika & Siti Nurhaliza tahun lalu tidak akan berulang.
Sediakan prosedur & sistem teratur
Timbalan Pengerusi Universe Gateway, Zambri Mohd Isa berkata pihaknya sudah menyediakan satu prosedur serta sistem yang teratur supaya konsert berkenaan berjalan lancar.“Rabbani sudah sedia maklum tentang isu sebelum ini, kami sudah beri satu SOP yang jelas kepada mereka. Kali ini tempat tertutup dan harap masalah dapat diatasi,” jelasnya.“Pihak kita ambil maklum tentang kegusaran peminat rentetan isu penganjuran konsert sebelum ini. Namun ingin saya maklumlan isu tersebut sudah pun selesai. “Insya-Allah untuk konsert Rabbani ini kami akan lakukan penambahbaikan. Kami tidak janji akan seratus sempurna namun kami akan berusaha meminimakan kesalahan.
Zambri berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Intifada Rabbani di Ruema Cafe & Event, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur pada Isnin.
Krisis telah diselesaikan
Mengulas mengenai isu tersebut, Zambri memaklumkan pihaknya sudah menyelesaikan krisis yang berlaku selepas dihubungi pihak yang menjadi mangsa.“Pihak kami juga tidak pernah melarikan diri dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya,” ungkapnya lagi.“Ada beberapa yang sudah menghubungi kami berhubung isu tersebut, kami juga sudah memulangkan sejumlah wang kepada mereka yang membuat aduan sebagai ganti rugi.
Dalam pada itu, Zambri berharap dengan penambahbaikan yang dibuat dapat meraih semula kepercayaan orang ramai serta memulihkan semula kredibiliti syarikat.
Rabbani letak syarat
Sementara itu, anggota kumpulan Rabbani iaitu Azadan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana penganjur yang didakwa bermasalah demi menjaga nama baik mereka“Saya percaya untuk memastikan konsert ini berjalan lancar, perlu ada sistem yang teratur dan bersepadu,” ujarnya.“Pihak kami sedia maklum tentang masalah yang terpalit dengan syarikat ini, namun kami tidak mahu fikir perkara yang sudah lepas. “Demi menjaga nama baik dan tidak mahu berdepan perkara berbangkit pada masa akan datang, kami meletakan syarat kepada penganjur. Antaranya, mempunyai perancangan lain atau plan B sekiranya tiket konsert tidak terjual.
Terdahulu, kontroversi membabitkan Universe Gateway timbul apabila Konsert Journey Of Sound: Judika & Siti Nurhaliza mendapat maklum balas daripada pengunjur yang hadir.
Antara isu yang dibangkitkan adalah masalah tempat duduk yang tidak sistematik sehingga menimbulkan kekecohan. Lebih parah ada pembeli tiket kategori VIP terpaksa duduk di zon yang lebih murah disebabkan kecuaian penganjur.
Dalam perkembangan lain, Konsert Intifada Rabbani bakal diadakan pada 20 September depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Tiket akan mula dijual pada 31 Julai ini di platform Ticket2u dan Fantopia.io.
Must-Watch Video