HIBURAN
Kim Soo Hyun Nafi Dakwaan Bercinta Dengan Kim Sae Ron Sejak Usia 15 Tahun
Pihak pengurusan pelakon terkenal Korea Selatan, Kim Soo Hyun iaitu Gold medalist menafikan dakwaan yang mengaitkan artis bawah naungannya mempunyai hubungan percintaan bersama mendiang Kim Sae Ron ketika aktres itu berusia 15 tahun.
Menerusi satu kenyataan rasmi, Gold Medalist menyatakan akan mengambil langkah perundangan bagi mengekang penyebaran khabar angin tidak berasas ini.
Gold Medalist juga sempat menyatakan rasa dukacita terhadap pemergian Kim Sae Ron yang baru sahaja meninggal dunia pada 16 Februari lalu.
"Kami ingin menjelaskan bahawa dakwaan yang dibuat terhadap Kim Soo Hyun di YouTube adalah tidak benar sama sekali. Kami sedang meneliti tindakan undang-undang yang paling tegas terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu ini."
"Kami amat berdukacita atas pemergian mendiang Kim Sae Ron, yang pernah menjadi sebahagian daripada keluarga Gold Medalist. Kami mengucapkan takziah dan turut merasai kehilangan ini," kata agensi itu.
Memetik laporan daripada portal hiburan Pinkvilla, saluran YouTube GaroSaero Research telah menyiarkan satu temu bual dengan seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai ibu saudara Kim Sae Ron.
Dalam video itu, wanita tersebut mendakwa bahawa Kim Sae Ron mula menjalinkan hubungan dengan Kim Soo Hyun sejak usia 15 tahun dan hubungan itu dikatakan berlanjutan selama enam tahun.
Untuk rekod, Kim Soo Hyun dan Kim Sae Ron pernah bernaung di bawah agensi Gold Medalist. Kim Sae Ron menandatangani kontrak dengan agensi itu pada tahun 2020 sebelum kontraknya ditamatkan pada 2022 selepas terpalit dengan kontroversi memandu dalam keadaan mabuk (DUI).
Pada tahun lalu, Kim Sae Ron pernah berkongsi gambar bersama Kim Soo Hyun di media sosial, namun gambar tersebut telah dipadam tidak lama kemudian.
Mendiang Kim Sae Ron ditemui tidak bernyawa di kediamannya di Seoul pada 16 Februari oleh seorang rakannya.
Pihak polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dan mengklasifikasikan kematian sebagai kes mati mengejut.
Upacara pengebumiannya telah berlangsung pada 19 Februari.
Must-Watch Video