VIRAL
Kes Zara Qairina: "Mohon Saksi Yang Masih Ada, Tolong Keluar" - Peguam
Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir meminta saksi kes yang belum tampil supaya berbuat demikian bagi membantu siasatan yang masih berjalan.
Peguam, Hamid Ismail, berkata masih ada yang mahu berjumpa dengan pihaknya berhubung siasatan kes kematian pelajar berusia 13 tahun itu dan beliau meminta agar mereka tampil ke hadapan.
"Mohon saksi yang masih ada, tolong keluar, itulah permintaan khas kami. Setakat ini ada yang masih mahu berjumpa dengan kami.
"Saya, secara peribadi, sudah dapat maklumat, tapi itu saya kena tapis. Setakat ini, ada beberapa (saksi)," katanya ditemui pemberita selepas prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak, di Sabah hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya jika ada apa-apa permintaan daripada peguam keluarga arwah untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Sementara itu, Hamid berkata, pasukannya ketika ini menunggu tarikh pendengaran permohonan untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues yang akan diadakan bermula 3 September depan.
"Kami menunggu tarikh pendengaran, mungkin dalam minggu ini," katanya merujuk kepada permohonan yang dikemukakan selepas prosiding sebutan inkues yang diadakan di Mahkamah Koroner, di sini Isnin lalu.
Sementara itu, katanya beliau akan menghubungi ibu arwah Zara bagi memaklumkan perkembangan prosiding kes di Mahkamah Kanak-Kanak, hari ini.
Sumber: Berita Harian
Must-Watch Video