BERITA
Kanak-Kanak Kritikal Selepas Tercekik Gula-Gula Kenyal
Seorang murid Tahun Lima dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian pada petang Selasa.
Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.
Ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Mohamad Fahmi dikatakan meminta izin daripada gurunya untuk ke tandas selepas dia dikatakan tersedak.
Bagaimanapun, ketika berjalan ke tandas Mohamad Fahmi dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri.
"Melihat keadaan Mohamad Fahmi yang tidak sedarkan diri, gurunya terus memberikan bantuan awal termasuk bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepadanya namun tiada tindak balas.
"Selepas menghubungi ambulans, guru terbabit ada buat panggilan video dengan pasukan perubatan yang meminta beliau memeriksa mulut Mohamad Fahmi sebelum menemukan gula-gula terbabit dalam tekak kanak-kanak itu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Siti Farhani berkata, Mohamad Fahmi pada mulanya dirawat di Hospital Seberang Jaya, namun melihat keadaannya semakin kritikal dia dipindahkan ke HPP untuk rawatan selanjutnya.
Katanya, ketika menerima pakaian Mohamad Fahmi daripada pihak hospital mendapati terdapat sebiji lagi gula-gula itu dalam poket baju sekolahnya.
"Setakat ini saya masih belum dapat menziarahi Mohamad Fahmi di hospital tapi dimaklumkan oleh abang, anaknya itu masih belum sedarkan diri.
"Mohon semua untuk doakan kesembuhan kepada Mohamad Fahmi dan harap ada keajaiban untuknya," ujarnya lagi.
Terdahulu, tular hantaran Siti Farhani di Facebook yang memohon doa orang ramai mengenai perkembangan anak saudaranya itu.
BERITA BERKAITAN: Nenek 72 Tahun Maut Tercekik Biji Rambutan
BERITA BERKAITAN: Anzalna Dah Survey Sekolah Anak Sejak Bayi Lagi - "Saya Nak Berikan yang Terbaik"
BERITA BERKAITAN: "Waktu Sekolah Seperti Biasa Sepanjang Ramadan" - KPM
BERITA BERKAITAN: Video Pelajar Sekolah Merangkak Buat Netizen Sebak - "Nampak Kesian Tapi Parents Tengah Ajar Dia..."
Siti Farhani memaklumkan Mohamad Fahmi dalam keadaan kritikal dan belum sedarkan diri selepas dipercayai tercekik gula-gula ketika di sekolah.
Gula-gula berkenaan dikatakan dibeli di gerai di luar kawasan sekolah.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video