Disebabkan Kelas PdPR, Ibu Bapa Serbu Kedai Komputer! Tapi Kalau Tak Mampu Macam Mana?
Perlaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan pada tahun 2021 berkemungkinan menjadi faktor utama mengapa kebanyakan kedai komputer sesak sejak akhir-akhir ini.
Difahamkan, kedai komputer di sekitar Lembah Klang, Melaka telah dipenuhi dengan ibu bapa yang mencari kelengkapan untuk pembelajaran secara atas talian.
Menurut seorang daripada peniaga di Desa Pandan yang hanya mahu dikenali sebagai Sha, barangan komputer telah mendapat permintaan tinggi sejak sesi persekolahan bermula lagi.
“Sebelum ini stok komputer riba yang datang pasti mengambil masa untuk dijual.
“Tetapi kini keadaan itu berubah apabila ibu bapa perlu menyediakan peralatan tersebut untuk anak-anak,” katanya.
Sementara itu seorang suri rumah Norita Awang, 41, mendakwa barangan komputer riba di kawasannya di Bangi telah kehabisan stok.
“Dah masuk tiga kedai nak cari aksesori web kamera tapi semua habis.
“Kedai komputer pun selalunya tak sesibuk ini,” katanya menerusi laporan Kosmo.
Antara persoalan yang timbul ialah, masalah peranti elektronik tidak mencukupi untuk diberikan kepada anak-anak dan bimbang jika tidak mengikuti kelas akan keciciran akademik.
Ada juga yang bimbang tidak sempat memantau anak-anak secara serentak ketika PdPR dijalankan serta masalah akses internet.
Namun apa yang lebih membimbangkan adalah nasib golongan tidak berkemampuan.
Apapun diharapkan kerajaan mencari jalan terbaik di saat dunia berdepan pandemik ini.