SALAM MUSLIM
Bilakah Waktu Sesuai Baca Surah Yasin Untuk Orang Meninggal Dunia?
Selain dikenali sebagai surah ‘wajib’ pada malam Jumaat, surah Yasin juga masyhur sebagai surah yang sering dibaca untuk untuk orang yang meninggal dunia.
Masakan tidak, ia boleh dikatakan sebagai surah utama yang sering dilazimkan ketika majlis tahlil, saat mendengar berita kematian atau ketika seseorang sedang nazak.
Pun begitu, masih ada orang yang keliru tentang waktu sesuai untuk membaca surah Yasin. Adakah ia perlu dialunkan ketika jenazah masih belum dikebumikan atau selepas jasadnya disemadikan?
Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, dalam hal tersebut, terdapat sebuah hadis yang memerihalkan tentang bacaan surah Yasin ke atas orang yang meninggal dunia.
Ma’qil bin Yaasar RA meriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW yang mana Baginda bersabda: “Bacalah kamu sekalian akan surah Yasin ke atas yang mati dalam kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad)
“Hadis itu dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya dan Imam Abu Daud dalam Sunannya pada kitab Al-Janaaiz serta Imam Ibnu Majah dalam Sunannya pada kitab sama Selain itu, Ibnu Hibban turut meriwayatkannya dalam Sahihnya.
Ustaz Azhar kemudian memetik pandangan Imam Al-Qurtubi dalam kitab Tazkirah Al-Qurtubi yang menyatakan: “Dan hadis ini ditanggung bahawa bacaannya adalah di sisi mayat pada ketika matinya dan ditanggung bahawa bacaannya adalah di sisi kuburnya.”
Ini bermakna, sama ada di samping jenazah ketika masih di dalam rumah mahupun selepas dikebumikan, kedua-duanya dibolehkan.
Bagi individu yang sedang nazak pula, laman web Maktabah Albakri menjelaskan, digalakkan atau disunatkan untuk kita membacakan surah Yasin kepada mereka yang sedang menghadapi sakaratulmaut.
“Bahkan, ia juga merupakan pendapat dalam mazhab Imam Syafie.
“Di antara hikmahnya adalah bagi memudahkan roh mereka keluar,” katanya sepertimana dipetik menerusi artikel #3704: Dalil perintah baca surah Yasin untuk orang mati yang disiarkan dalam laman web Maktabah Albakri.
Must-Watch Video