BERITA
Aksi 'Terlampau' Pemancing Tayang Ikan 39KG Diikat Belakang Kereta, Dicari Polis
Seorang lelaki di selatan China menjadi tular selepas aksinya menayangkan seekor ikan kap gergasi yang diikat pada bahagian belakang keretanya dirakam dan dikongsikan di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi lucu dalam kalangan pengguna internet.
Bagaimanapun, polis trafik di Guigang, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China memaklumkan bahawa lelaki itu bakal dikenakan hukuman atas 'tingkah laku tidak wajar' yang boleh mengancam keselamatan jalan raya.
Menurut laporan, lelaki terbabit mengikat kepala dan ekor seekor ikan sepanjang satu meter dengan anggaran berat melebihi 30 kilogram (kg) pada keretanya sebelum memandu mengelilingi bandar pada 15 Mei lalu.
Menurut saksi yang dikenali sebagai Ji, ikan tersebut dipercayai ditangkap dari Empangan Pingtianshan yang berdekatan.
Difahamkan, lelaki itu kemudiannya mengaku di media sosial bahawa tangkapannya seberat 39.5kg dan telah dijadikan bebola ikan untuk dinikmati bersama keluarga pada hari yang sama.
Pihak berkuasa kini sedang menimbang untuk mengenakan denda atau memotong mata lesen memandu lelaki terbabit.
Menurut peraturan keselamatan jalan raya China, objek yang tergantung pada kenderaan tidak boleh melebihi 0.5 meter.
Netizen rata-rata terhibur dengan insiden itu.
“Mesti dia bangga. Ikan sebesar itu, siapa yang tak mahu tunjuk?” kata seorang pengguna.
“Seluruh Guangxi bercerita tentang ikan ini hari ini,” tambah yang lain sambil bergurau bahawa lelaki itu mungkin telah berbelanja lebih untuk minyak semata-mata mahu ‘berarak’ dengan ikannya.
Insiden sebegini bukan pertama kali berlaku di China. Pada tahun 2023, seorang lelaki di Shandong turut didenda 200 yuan (RM130) dan kehilangan sembilan mata lesen selepas menggantung ikan 10kg pada keretanya sehingga menutupi nombor pendaftaran.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video