HIBURAN
“Ada Satu Ayat Norman Kata…” – Akui Khilaf Sebar Isu Keluarga, Abby Abadi Dedah Sebab Pilih Mahu Berdamai
Pelakon dan bekas anggota kumpulan Elite, Abby Abadi, tampil menjelaskan punca sebenar mengapa dia akhirnya membuka hati untuk berdamai dengan bekas suaminya, Norman Hakim dan anak perempuannya, Marissa Dania.
Menerusi sesi siaran langsung di TikTok, Abby mendedahkan bahawa hatinya mula tersentuh selepas mendengar luahan jujur daripada Norman yang mengaku akan menerima segala teguran dan meminta maaf atas kesilapan silam.
@__norainibasre88__ #abbyabadi #normanhakim #memeysuhaiza #artismalaysia #norainibasre #norainibasreteam #norainibasreshop #binafshasweet ♬ bunyi asal - Noraini Basre
"Dia kata, dia terima saja apa yang saya katakan kepada dia dan dia minta maaf sebab khilaf dia buatkan saya jadi macam ini.
“Ada satu ayat Norman kata, ‘Awak buatlah apa-apa pun, saya terima sebab awak dah lahirkan anak-anak saya’," kongsi Abby.
Abby turut mengakui bahawa dia sendiri mempunyai kekurangan dan tidak berniat untuk memburukkan sesiapa, walaupun pernah mendedahkan beberapa kisah lama di media sosial sebelum ini.
"Saya minta maaf, saya ada salah dan kelemahan. Saya tak pernah bercerita pun selama 17 tahun dan sememangnya saya tak nak cerita pun sebenarnya. Saya pun bukanlah baik dan saya mengaku saya salah, saya minta maaf."
Menurut Abby, pendedahan yang dibuat sebelum ini bukanlah kerana tamakkan harta, sebaliknya kerana rasa kecewa terhadap sikap Norman yang dilihat seolah-olah menjauhkan diri daripada anak-anak mereka selepas mengecapi kejayaan.
"Saya bukanlah mata duitan atau nak duit sangat pun tapi saya geram sebab bila dia kaya, dia macam lupa anak-anak. Apa yang keluar daripada saya itu adalah sekadar nak sedarkan dia tapi saya akui ia satu kesilapan."
Terdahulu, Abby menarik perhatian ramai apabila secara terbuka menceritakan kisah rumah tangganya bersama Norman Hakim, termasuk mendakwa pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Namun, semua hantaran itu telah dipadam selepas mereka mengadakan pertemuan pada Sabtu lalu bersama isteri Norman kini, Marissa Dania Hakim.
Untuk makluman, Abby dan Norman mendirikan rumah tangga pada tahun 2002 dan bercerai pada 2009.
Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata hasil perkahwinan tersebut.
Must-Watch Video