BERITA
284 Kotak, 72 Bagasi Mengandungi Wang Tunai, Beg Berjenama Dirampas Dari Kondominium Mewah Milik Bekas Pemimpin Negara
Sejumlah 284 kotak, 72 bagasi mengandungi wang tunai, beg berjenama dan barangan bernilai termasuk jam tangan, adalah antara rampasan yang dilakukan dalam satu operasi pencarian di kondomiminum mewah milik bekas pemimpin negara lewat malam tadi.
Perkara ini disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dalam satu sidang media yang berlangsung sekitar jam 2.15 pagi di perkarangan kondominium mewah selepas operasi penggeledahan tamat.
"Anggaran jumlah wang barang kemas, jam tangan yang dirampas tidak diberikan buat ketika ini," kata Amar Singh.
Katanya, bagasi itu turut mengandungi mata wang asing dalam pelbagai denominasi. Namun, jumlah mata wang asing itu tidak dapat didedahkan kerana perincian hanya akan dilakukan pada hari yang berlainan.
Beliau juga telah berkata bahawa pihak polis telah menjalankan penyiasatan di keenam-enam tempat tersebut secara serentak dan menegaskan bahawa ia merupakan suatu pemeriksaan dan bukannya serbuan.
Antara lokasi-lokasi terbabit termasuk di Pejabat Perdana Menteri, kediaman rasmi bekas Perdana Menteri dan empat buah kediaman miliknya.
"Ini adalah pemeriksaan bukan serbuan," tegas Amar Singh.
Beliau turut berkata rampasan dibuat untuk membantu siasatan kes berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) .
"Kami sedang membuat siasatan tentang kes 1MDB," katanya.
Sidang media itu berlangsung selepas operasi pencarian yang bermula sekitar jam 10 malam tadi.
Apabila ditanya siapa pemilik unit kondominium mewah itu, Amar Singh menegaskan ia milik seorang 'Tan Sri' tanpa mendedahkan nama sebenar individu itu.
Amar Singh turut menyeru agar pihak-pihak tertentu tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan yang berkait rapat dengan isu 1MDB itu.
Sumber: Astro Awani
Foto: Astro Awani / Bernama
Must-Watch Video