ANTARABANGSA
10 benda pelik dibawa masa sesi pandu uji, satu daripadanya ada bawa kuda!
Jika mahu membeli sebuah kenderaan, lazimnya kita akan meminta peluang daripada jurujual atau pihak pengedar untuk memandu uji model sebelum membuat tempahan.
Ketika itu, kita kebiasaannya ditemani ahli keluarga, sahabat atau mereka yang berpengalaman untuk sesi pandu uji.
Di Britain, ada beberapa kejadian luar biasa dilaporkan semasa sesi pandu uji. Ada 10 kes pelik di mana bakal pembeli membawa beberapa objek termasuk ular sepanjang 12 kaki, tilam dan sepasang burung kakak tua.
Ya, kisah itu didedahkan menerusi satu kajian oleh sebuah portal atas talian untuk kereta terpakai iaitu CarGurus.
Kajian itu dilakukan dengan mengambil maklumat daripada beribu-ribu pihak pengedar kereta terpakai di United Kingdom (UK) dalam tempoh 12 bulan lalu.
Ada beberapa pengedar mendedahkan pelanggan membawa haiwan peliharaan termasuk ikan, kucing dan seekor anjing bersaiz besar jenis Great Dane di dalam kerusi budak, ular dan kuda.
Kami tidak pasti sama ada kuda itu masuk kereta atau mungkin ditunggang pembeli ke premis berkenaan. Atau kuda itu dimasukkan ke belakang sebuah trak pikap.
Lebih mengejutkan, ada pelanggan di UK bawa abu mayat keluarga mereka semasa sesi pandu uji. Ahli pemuzik pula dikatakan membawa instrumen mereka untuk pandu uji.
Ini adalah senarai 10 benda atau objek luar biasa dibawa semasa pandu uji di UK:
- Sebutir telur 'bertuah'
- Kuda
- Raifal
- Ular 12 kaki
- Akordion
- Sepasang burung kakak tua
- Tilam
- Abu mayat mendiang keluarga
- Selipar
- Cota
Must-Watch Video