HIBURAN
Siti Nurhaliza On Tour London Belum Ada Kata Putus
Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan konsert Siti Nurhaliza On Tour di London yang dijadualkan pada 22 April masih belum dimuktamadkan.
Jelas Siti, sehingga kini pihaknya masih menunggu kata putus daripada pihak penganjur, Shiraz Projects.
“Selagi pihak penganjur tak bercakap apa-apa saya tak boleh nak putuskan.
“Kita kena tunggu pengumuman daripada mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari jadi Siti Aafiyah di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur hari ini.
Ujar Siti lagi andai bukan dibuat pada tarikh tersebut, pihaknya merancang untuk mengadakan konsert di luar negara walaupun bukan di London sekalipun.
“Kalau bukan tahun ini, mungkin tahun akan datang kerana pihak Royal Albert Hall London sentiasa terbuka dengan tarikh kita.
“Bagaimanapun, kita akan mencari waktu yang sesuai untuk mengadakan konsert di sana biarpun dengan syarikat penganjur lain.
“Kalau tidak berjaya direalisasikan oleh pihak penganjur, kita percaya masih boleh diteruskan dengan pelbagai cara.
“Kami di SNP sentiasa mencari mencari ruang untuk mengulangi kenangan indah di Royal Albert Hall pada tahun 2005,” tambahnya.
London pada mulanya dijadualkan menjadi lokasi keempat Siti Nurhaliza On Tour selepas Jakarta, Singapura dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, kata Siti sambutan hari jadi pertama Siti Aafiyah dilakukan dua hari lebih awal memandangkan tiada masa lain yang lebih sesuai.
“Hari jadi Aafiyah 19 Mac jatuh pada hari bekerja, suami saya pula tidak mahu menyambutnya lebih lewat.
“Jadi, memandangkan ini sahaja jadual yang lapang, kami pilih tarikh ini,” katanya.
Must-Watch Video