Suara Viral
"Saya Tak Fikir Akan Menang" - Farah Akui Ameem Pesaing Terdekatnya Di Suara Viral
Juara Suara Viral, Farah mengakui kemenangannya dalam program realiti nyanyian itu merupakan sesuatu yang tidak pernah dijangkakannya.
Ini kerana kata Farah, dia merasakan terdapat peserta lain yang jauh lebih hebat dan mempunyai kelebihan tersendiri.
"Saya tak jangka pun akan menang. Lagipun ramai yang bagus-bagus.
"Pesaing terdekat saya Ameem sebab dia mempunyai kelebihan dari segi vokal. Kalau bawa lagu balada dinamik dia yang paling bagus termasuklah cara dirinya improvise sesuatu lagu itu," katanya kepada Astro Gempak.
Begitupun, menurut Bella, dia menanggap kemenangannya malam tadi itu sebagai rezeki dan permulaan untuknya melangkah masuk dalam industri muzik.
"Saya kena belajar lagi dengan orang yang berpengalaman. Maklumlah, sebelum ini saya hanya biasa menyanyi bersama askar sahaja.
"Tapi kalau ada peluang di luar sana, saya ingin cuba juga," katanya yang kini berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia.
Pada masa sama, kata Farah, dia juga berharap dapat menerbitkan lagu sendiri pada masa akan datang.
"Kalau ada rezeki nak juga buat single. Cuma, nak begerak solo tu kena banyak bertanya dengan orang sebab dah biasa dengan band bila menyanyi dengan pasukan sendiri," katanya.
Terdahulu, Farah atau nama sebenarnya, Farah Noorasikin Abdul Rahim, 32, dinobatkan sebagai juara Suara Viral musim pertama yang bersiaran malam tadi.
Program realiti yang berlangsung selama lapan minggu itu mengetengahkan bakat-bakat dalam kalangan frontliner.
Bagi mereka yang terlepas menonton konsert akhir Suara Viral, anda boleh saksikan secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program Suara Viral, layari www.gempak.com/suaraviral.
Must-Watch Video