Tempatan

Subaru Impreza 22B STi - Barang ‘Rare’ Ini Dibida Sehingga RM1.29 Juta Di Amerika Syarikat

Erywan
23/04/2021
06:41 MYT
Sponsor Banner
Subaru Impreza 22B STi - Barang ‘Rare’ Ini Dibida Sehingga RM1.29 Juta Di Amerika Syarikat
Bagi peminat JDM di serata dunia, Subaru Impreza 22B STi adalah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Dengan hanya 424 unit dibina bagi meraikan ulangtahun ke-40 Subaru dan kejayaan merangkul gelaran Kejohanan Rali Dunia FIA untuk kali ketiga berturut-turut, tidak hairanlah ia masih menjadi buruan pengumpul walaupun sudah 23 tahun dikeluarkan.
Bilangannya yang terhad serta nilai sentimental adalah antara faktor yang menjadikan harganya melambung tinggi. Baru-baru ini, sebuah unit dengan jarak perbatuan kira-kira 40,000km dibida pada harga $312,555 (RM1.29 juta) menerusi laman web lelong kereta yang terkenal di Amerika Syarikat iaitu Bring A Trailer.
Menurut laman web itu, ia adalah unit yang ke-156 daripada 400 unit yang dibina khusus untuk pasaran Jepun. Ia diimport masuk ke negara itu pada Julai tahun lalu menerusi pengecualian “Show or Display” yang diberikan kepada kenderaan-kenderaan yang mempunyai kepentingan sejarah atau teknologi.
Impreza 22B STi ini dilihat berada dalam kondisi yang baik dan masih memakai warna World Rally Blue yang asal serta rim aloi BBS emas berukuran 17 inci yang dibalut tayar Dunlop Direzza II. Tersembunyi di sebalik rim itu adalah angkup brek berwarna merah dengan logo STi.
Di dalam, terdapat sepasang tempat duduk Recaro dengan upholsteri fabrik berwarna biru dan hitam dan logo STi yang disulam, serta stereng dengan balutan kulit dan jahitan kontras berwarna merah. Kelengkapan seperti pendingin hawa, tingkap kuasa, kemasan kulit pada tombol gear serta kemasan ambang pintu STi disertakan.
Enjin EJ22G 2.2-liter empat silinder itu ditambahbaik pada Januari tahun ini menerusi penggantian tali sawat dan pam air. Pada masa yang sama, bekas pemiliknya turut memasang sistem ekzos cat-back. Di atas kertas, enjin itu menghasilkan 280hp pada 6,000 rpm dan 363Nm pada 3,200 rpm.
Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi manual lima kelajuan dengan nisbah pendek dan ‘differential’ elektronik pada bahagian tengah. Resit bagi kerja pembaikan serta keputusan ujian dyno disertakan dengan pembelian.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar