Hiburan

“Saya Bukan Malaikat Dan Isteri Bukan Bidadari” - Beego

Khairil Khusyairi
06/02/2025
08:50 MYT
Sponsor Banner
“Saya Bukan Malaikat Dan Isteri Bukan Bidadari” - Beego
Pelakon Beego tampil memberi kenyataan berhubung dakwaan dia mengasari isterinya yang juga pelakon, Linda Hashim.
Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, enggan membiarkan perkara itu berlarutan malah memaklumkan dia sudah meminta maaf dan memujuk isterinya itu supaya membatalkan hasrat untuk bercerai.
“Setiap pasangan lakukan kesilapan masing-masing. Saya tidak mahu komen lanjut kerana saya ada silap sendiri, saya bukan malaikat dan isteri saya bukan bidadari.
“Saya sangat mencintainya dan mahu mempertahankan perkahwinan ini kerana anak-anak. Saya sudah pun meminta dan berusaha memujuknya supaya membatalkan hasrat untuk bercerai.
“Selain masih sayang, usaha itu juga dibuat kerana anak-anak kami masih kecil dan mahukan perhatian kedua ibu bapa,” katanya ketika dihubungi.
Beego yang juga bekas anggota kumpulan Phynee Ballerz itu berkata dia tahu akan niat isterinya untuk bercerai, namun tidak menyangka tarikh sebutan pertama berlangsung pada hari ini kerana tidak mendapat sebarang notis.
“Saya hanya memberi ruang untuk dia mencari ketenangan tetapi tidak menyangka dia akan ke mahkamah dan melanjutkan proses perceraian.
“Kalau ikutkan hukum, saya yang sepatutnya keluar rumah. Tetapi saya sendiri yang membenarkan dia keluar bersama anak-anak demi mendapatkan ketenangan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Beego menafikan wang antara punca rumah tangganya retak memandangkan dia masih mempunyai pekerjaan lain
Malah, mengakui kesibukkannya bekerja membuatkan dirinya tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya terhadap isteri dan anak-anaknya.
“Pendapatan saya stabil, tetapi tidaklah begitu mewah. Mungkin kesibukan kerja membuatkan Linda terasa kurang mendapat perhatian,” ujarnya.
Sebelum ini, Linda meminta soalan mengenai keganasan domestik dan kewujudan orang ketiga yang menjadi punca keretakan rumah tangga mereka terus diajukan kepada Beego ketika ditemu bual selepas prosiding sebutan pertama perceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Mahkamah menetapkan 6 Mac depan merupakan tarikh sebutan kedua bagi kes tersebut.
Untuk info, Linda menfailkan cerai terhadap Beego pada 17 Januari lalu dengan alasan tidak mempunyai persefahaman.
Terdahulu, Linda dan Beego pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023, namun rujuk semula ketika masih dalam tempoh edah pada 9 April tahun sama.
Linda bagaimanapun memaklumkan mereka bercerai kali kedua selepas beberapa bulan rujuk kerana masalah sama iaitu tiada persefahaman walaupun mendakwa sudah banyak kali memberikan suaminya peluang.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024