Hiburan
Selesai Beri Keterangan, SPRM Tidak Akan Bekukan Akaun Bank Ziana Zain & Jalaluddin Hassan - “Saya Kena Jelaskan Ia…”
Akaun bank milik penyanyi Ziana Zain dan pelakon Datuk Jalaluddin Hassan tidak akan dibekukan memandangkan kedua-dua selebriti itu hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya untuk memberi keterangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menjelaskan kehadiran kedua-dua selebriti itu bagi melengkapkan siasatan berhubung kes sindiket pengubahan wang haram melibatkan sebuah syarikat pengurusan kewangan yang tumpas dalam Ops Sky baru-baru ini.
"Saya kena jelaskan ia tidak ada kena mengena pun dengan akaun mereka. Kita tidak akan bekukan akaun mereka,” katanya kepada pemberita.
Azam mengulas perkara itu menerusi sidang media yang diadakan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis.
Dalam pada itu, jumlah bayaran diterima oleh selebriti berkenaan sebagai duta bukan isu utama sehingga menyebabkan kedua-dua selebriti itu dipanggil.
Namun kata Azam, jika ia membabitkan jumlah pelaburan besar untuk membayar Ziana dan Jalaluddin maka ada kemungkinan ia boleh menimbulkan kemusykilan.
Sementara itu pihak SPRM selesai mengambil keterangan dua selebriti tersebut pada petang Khamis.
Kenderaan milik Ziana atau Siti Roziana Zain, 57, dilihat meninggalkan bangunan SPRM di Putrajaya kira-kira pukul 3 petang.
Menurut sumber, keterangan ketiga-tiga mereka selesai dirakamkan pada jam 2.45 petang.
“Ziana merupakan orang terakhir yang meninggalkan kawasan ini. Mereka yang lain sudah meninggalkan kawasan sebelum dia,” kata sumber.
Pada pagi Khamis, kedua-dua selebriti berkenaan tiba di ibu pejabat SPRM, Putrajaya sekitar pukul 9.30 pagi.
Mereka dipercayai menggunakan jalan ‘belakang’ bagi mengelak bertembung dengan pihak media.
Pada 2 Februari lalu, media melaporkan pihak SPRM akan memanggil beberapa selebriti namun tidak mendedahkan sebarang nama.
Siasatan berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Difahamkan kesemua selebriti terbabit dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit selepas mereka bertindak sebagai duta kepada syarikat itu.
Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi ternama.
SPRM sebelum ini berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi syarikat perunding kewangan.
Must-Watch Video