Laman Utama

Penerima i-Lestari, i-Sinar Buat Pengeluaran Tapi Tidak Terkesan Kena Bayar Zakat

Fiza Kamarudin
03/03/2021
23:56 MYT
Sponsor Banner
Penerima i-Lestari, i-Sinar Buat Pengeluaran Tapi Tidak Terkesan Kena Bayar Zakat
Penerima i-Lestari dan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang beragama Islam perlu menunaikan tanggungjawab untuk membayar zakat.
Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam satu hantaran di Instagram berkata, bayaran zakat kedua-dua kemudahan pengeluaran itu adalah bergantung kepada tiga situasi.
Katanya, jika jumlah yang dikeluarkan secara keseluruhannya tidak melebihi paras minimum (nisab) dan khas bagi yang terkesan dengan Covid-19 sama ada hilang punca pendapatan atau tidak bekerja, zakat tidak dikenakan ke atas pengeluaran terbabit.
Katanya, bagi mereka yang secara relatifnya tidak terkesan, tetapi tetap membuat pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar, maka dianjurkan mencampurkan jumlah itu dengan harta yang lain untuk dizakatkan.
"Bagi mereka yang tiada pendapatan namun memiliki harta yang cukup dan tidak terkesan secara langsung, misalnya mempunyai jumlah simpanan yang tinggi, golongan pesara yang tiada komitmen atau mereka yang tidak berkerja tetapi mempunyai harta yang mencukupi dan mampu menyara hidup, maka pengeluaran yang melebihi nisab juga perlu dizakatkan," katanya.
Menurutnya, seperti syarat wajib zakat, pemilik harta mestilah seseorang yang beragama Islam kerana zakat disyariatkan kepada orang Islam sahaja.
Orang ramai yang mempunyai kemusykilan boleh berhubung dengan PPZ-MAIWP di talian 1300885757 atau emel ke info@zakat.com.my
Semalam KWSP memaklumkan permohonan kemudahan i-Sinar yang dikemukakan sebelum 25 Februari akan diberi kelulusan secara berperingkat dan bayaran akan dibuat mulai semalam susulan pemansuhan kriterianya bulan lalu.
Ia membabitkan permohonan yang masih menunggu keputusan kelulusan dan yang berstatus tidak lulus, sebelum penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dilaksanakan.
Sumber: Harian Metro
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar