Hiburan

Konsert Zikir Dikir Papar Gabungan Unik Irama Kerohanian & Kebudayaan

Izwan Isa
20/02/2024
12:55 MYT
Sponsor Banner
Konsert Zikir Dikir Papar Gabungan Unik Irama Kerohanian & Kebudayaan
Membuka tirai 2024, syarikat rakaman Arteffects Sdn. Bhd bakal menganjurkan sebuah konsert yang berkonsepkan gabungan irama kerohanian dan kebudayaan. Konsert yang diberi judul Konsert Zikir Dikir ini bakal berlangsung pada hari Jumaat, 3 Mei 2024 di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Konsert ini bakal diterajui oleh dua orang tokoh kebudayaan ternama iaitu Hafiz Hamidun, artis nasyid popular negara serta Halim Yazid, ikon Dikir Barat tersohor di Pantai Timur serta di seluruh negara.
Selain dari Hafiz Hamidun dan Halim Yazid, Konsert Zikir Dikir juga bakal melibatkan beberapa artis terkemuka tanah air serta artis kebudayaan untuk menyemarakkan persembahan yang penuh dengan mesej kerohanian, kemanusiaan dan unsur-unsur nasihat.
Meneruskan legasi Zikir Terapi Berlandaskan kejayaan penjualan album-album Zikir Terapi, Ketua Pegawai Eksekutif Arteffects, penyanyi lagu kerohanian Hafiz Hamidun optimis dengan sambutan yang bakal diberikan kepada Konsert Zikir Dikir
“Alhamdulillah, walaupun saya acap kali membuat persembahan di Pantai Timur seperti di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, hasrat saya untuk mengadakan konsert khas dari album Zikir Terapi di sini bakal menjadi realiti.
“Jika sebelum ini saya sudah membuat konsert-konsert solo berskala besar di ibu negara, selatan dan utara tanah air, kali ini saya bakal membawakan persembahan yang lebih hebat ke Pantai Timur, khususnya ke Negeri Terengganu”, ujarnya.
Kejayaan album Zikir Terapi Hafiz Hamidun telah disokong dengan penganjuran konsert-konsert solo beliau sebelum ini. Bermula dari tahun 2012, Hafiz Hamidun telah mengadakan beberapa siri konsert Zikir Terapi seperti di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur (2012), Stadium Tertutup Johor Bahru (2013), SPICE Arena PISA, Pulau Pinang (2014), Menara Kuala Lumpur (2015) serta persembahan dua hari di Istana Budaya Kuala Lumpur (2015).
Lagu Tupai dan Bangkit Asal melonjakkan nama Halim Yazid Umum mengetahui lagu Tupai dan Bangkit Asal sangat sinonim dengan Halim Yazid. Penyampaian beliau yang bersahaja serta lirik yang penuh dengan mesej positif menjadikan Halim Yazid sebagai salah seorang ikon Dikir Barat yang masih kekal relevan sehingga hari ini.
Anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan ini bukan sahaja menerima undangan persembahan di pantai timur, malah beliau juga turut membuat persembahan Dikir Barat ke seluruh negara.
Beliau juga pernah terlibat di dalam rancangan khas yang terbitan TV3 iaitu Dikir Blues USA pada tahun 2012.
Melalui rancangan tersebut, Halim Yazid telah membuat persembahan Dikir Barat di Amerika Syarikat serta menggabungkan irama blues di dalam persembahan beliau. Kini, lagu-lagu Halim Yazid sering berkumandang di radio-radio tempatan serta dimuat naik di laman media sosial seperti Youtube, Tiktok dan sebagainya.
“Saya sangat menghargai sokongan peminat-peminat lagu Dikir Barat tanpa mengira usia dan kedudukan mereka. Walaupun saya kini merantau ke negeri orang, perjuangan saya untuk memartabatkan Dikir Barat telah sebati dan menjadi darah daging dalam diri saya.
Saya menjanjikan sebuah persembahan yang unik dan dapat dikenang di dalam Konsert Zikir Dikir itu nanti,” ujar Halim Yazid, yang juga merupakan pesara Pegawai Kebudayaan Universiti Malaya.
Persembahan Bertemakan Kerohanian Dan Kebudayaan Para penonton Konsert Zikir Dikir bakal dihiburkan dengan persembahan selama lebih dua jam oleh Hafiz Hamidun, Halim Yazid serta artis-artis jemputan pada malam tersebut. Persembahan ini juga bakal diiringi oleh pemuzik tersohor tanah air serta muzik Dikir Barat yang asli.
Di samping menggabungkan dua konsep persembahan iaitu Zikir dan Dikir Barat, para penonton juga bakal menyaksikan Hafiz Hamidun dan Halim Yazid berganding di dalam sebuah lagu khas, iaitu Zikir Dikir. Lagu ini bakal dirakamkan pada penghujung Februari ini dan para peminat boleh mula mendengarkan single terbaharu ini selewat-lewatnya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma.
Konsert Zikir Dikir turut disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Kumpulan MyCreative Ventures menerusi dana Kandungan Digital. Sinergi yang utuh antara Arteffects serta Kementerian Komunikasi dan Kumpulan MyCreative Ventures menjadikan penganjuran Konsert Zikir Dikir sebuah realiti, yang akhirnya dapat diterjemahkan kepada pembangunan modal insan dan kelestarian seni dan budaya.
Jualan tiket untuk Konsert Zikir Dikir bakal bermula pada 1 Mac 2024 melalui laman sesawang www.zikirdikir.com . Informasi lanjut mengenai penjualan tiket Konsert Zikir Dikir akan diberikan dari masa ke masa melalui media sosial.
Sebarang maklumat mengenai konsert ini boleh diikuti melalui laman web www.zikirdikir.com atau melalui emel ke hello@arteffects.my serta semua media sosial rasmi Arteffects Sdn. Bhd. di @arteffectsmedia termasuk Instagram, Facebook, Twitter, Facebook, TikTok dan Youtube.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar