Hiburan

Jamal Abdillah, Hijjaz Bakal Serikan IDEA Awards 2023!

Amri Hassan
25/10/2023
11:27 MYT
Sponsor Banner
Jamal Abdillah, Hijjaz Bakal Serikan IDEA Awards 2023!
Raja pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah antara penghibur yang bakal menyerikan majlis penganugerahan berprestij ‘Islamic Distinguished Entrepreneur’ (IDEA Award 2023) pada 3 November depan.
Bertempat di Hotel St Regis Kuala Lumpur, acara anjuran Dewan Perniagaan Muslim Insiders itu akan turut disertai oleh kumpulan nasyid terkenal Hijjaz.
IDEA Award 2023 bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada usahawan Muslim yang telah mencapai tahap keunggulan luar biasa dalam pelbagai sektor ekonomi. Malah anugera itu juga meraikan pemilik perniagaan bukan Islam yang mengamalkan ciri-ciri ‘Muslim-friendly businesses’.
Kata Presiden Muslim Insiders, Profesor (Adj) Haji Adam Richman, anugerah ini juga memberikan peluang kepada usahawan terbaik untuk menerima pengiktirafan yang mereka layak, dan pada masa yang sama, memperkukuhkan komuniti perniagaan Malaysia Madani.
“Ini kerana ia tidak hanya mengiktiraf pencapaian dalam bidang perniagaan yang meliputi inovasi, kelestarian perniagaan, impak sosial, dan kepelbagaian, tetapi juga menilai kesediaan usahawan terbilang untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT melalui perniagaan.
“Sekali gus dalam usaha memenuhi tuntutan fardhu kifayah dengan menyediakan perkhidmatan serta manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.
Tambahnya, anugerah ini menjadi platform yang luar biasa untuk mengiktiraf usaha cemerlang usahawan Muslim di Malaysia.
“Kami percaya bahawa usaha ini tidak hanya memberi manfaat kepada perniagaan mereka, tetapi juga masyarakat dan ekonomi Malaysia Madani. Anugerah ini adalah satu langkah penting untuk menyokong pertumbuhan perniagaan komuniti Muslim yang cemerlang dan berdaya saing,” ujarnya.
IDEA Awards 2023 akan dijurikan oleh panel syariah Prof. Madya Dato’ Dr Izhar Ariff Mohd Kashim dan panel perundangan Datuk Wan Azmir Wan Majid. Anugerah ini turut dikoordinasikan oleh Eventopedia dan KNKV Group sebagai rakan strategik.
Acara tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Maslan dan dihadiri barisan pemimpin konglomerat yang turut sama meraikan para usahawan Muslim terbilang.
Waqaf An-Nur, selaku peneraju institusi wakaf korporat yang bertindak sebagai pemangkin pembangunan industri kewangan sosial Islam turut sama bersinergi sebagai penerima wakaf manfaat dalam majlis penganugerahan berprestij ini.
Untuk rekod, penerima anugerah akan menerima trofi dengan ukiran khat ‘Mari Menuju Kejayaan’ pada puncak trofinya sebagai simbolik pencapaian cemerlang mereka dalam jatuh bangun perniagaan.
Anugerah ini dijangka akan menjadi sebuah acara berprestij yang akan dihadiri oleh tokoh penting dalam dunia perniagaan dan politik, serta membuka peluang kepada usahawan untuk berkongsi pengalaman dan wawasan mereka.
Untuk maklumat lanjut mengenai IDEA Award 2023, sila layari laman web rasmi www.musliminsiders.com.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar