Laman Utama

Dihadiahkan Tasbih & Dibekalkan Makanan, Acha Septriasa Teruja Bertemu Wan Azizah Buat Pertama Kali

Shahrin Zulkifle
01/03/2023
14:00 MYT
Sponsor Banner
Dihadiahkan Tasbih & Dibekalkan Makanan, Acha Septriasa Teruja Bertemu Wan Azizah Buat Pertama Kali

Pelakon dan penyanyi popular Indonesia, Acha Septriasa berkongsi detik gembira ketika pertama kali bertemu dengan isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail di sebuah hotel di Malaysia.

Jelas Acha, 33, ketika pertemuan tersebut, Azizah telah membawakan dia bekal makanan yang dimasaknya sendiri dan dihadiahkan seutas tasbih.

“Saya pernah berjumpa dengan Azizah, beliau merupakan sosok yang mempunyai sifat keibuan yang sangat tinggi.

“Ketika bertemunya di sebuah hotel, dia membawakan saya dan Farid Kamil bekal dengan lauk yang dimasaknya sendiri.

“Azizah juga memberikan saya gelang tasbih untuk selalu mengingati Allah dan secara tidak langsung mengingatinya.

“Itu adalah momen yang saya tidak dapat lupakan saat bertemu dengannya,” katanya kepada Gempak.

Acha berkata demikian menerusi zoom call ketika di majlis sidang media filem lakonan terbaharunya berjudul Anwar The Untold Story yang berlangsung di ibu kota pada Selasa.

Dalam masa sama, Acha menjelaskan pertemuan dengan isteri kepada Perdana Menteri ke-10 itu sedikit sebanyak membantu dia untuk menjiwai watak Azizah yang dibawanya dalam filem berkenaan.

“Wan Azizah sosok yang amat damai dan percaya dengan takdirnya. Dia sangat yakin dengan keluarga dan Tuhannya.

“Azizah juga mempunyai semangat kepimpinan yang kuat kerana dia boleh memikul tanggungjawab sebagai seorang ayah saat suaminya itu berdepan saat sulit,” tambahnya lagi.

Selain Acha, filem arahan Viva Westi turut dibintangi Farid Kamil, Hasnul Rahmat, Dewi Irawan, Piet Pagau dan ramai lagi.

Sinopsis:

Anwar The Untold Story berkisarkan mengenai jatuh bangun perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam politik terutama melawan rasuah. Filem diusahakan sejak Ogos 2011 ini siap dan kini bersedia untuk ditayangkan. Set masa filem ini ialah dari tahun 1993 hingga September 1998, iaitu ketika Anwar mula menjawat jawatan Menteri Kewangan sehinggalah dipecat.

Diolah dari kisah benar, alur ceritanya adalah mengenai sikap Anwar yang tegas dan konsisten menolak berbagai jenis imbuhan dan wang tunai dari pihak tertentu.

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar