Laman Utama

Dakwa 'Dr.Nur' Berada Dalam Tahanan Israel, Iesya Toh Beri Kerjasama Kepada Wisma Putra

Fiza Kamarudin
28/05/2021
01:20 MYT
Sponsor Banner
Dakwa 'Dr.Nur' Berada Dalam Tahanan Israel, Iesya Toh Beri Kerjasama Kepada Wisma Putra
Susulan dakwaan mengenai 'Dr. Nur' yang dikatakan menjadi tahanan pihak Israel, pengacara dan pelakon Iesya Toh mengakui sudah memberi kerjasama kepada Wisma Putra.
Iesya ketika dihubungi Gempak berkata, maklumat yang didedahkan menerusi laman sosial Instagram (IG)nya baru-baru ini adalah sahih.
“Berita mengenai 'Dr. Nur' itu betul. Seorang doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) minta tolong perkara tersebut didedahkan.
“Tujuan beliau memberi maklumat tersebut kepada saya adalah untuk saya panjangkan isu tersebut kepada pihak sepatutnya.
“'Dr. Nur' bertugas di HKL yang menjalankan misi bantuan di Palestin, dan ditahan pihak Israel. Ada khabar mengatakan keadaan beliau tidak baik.
“Sekarang ini, bagaimana cara untuk membantu 'Dr. Nur' kita belum dapat jalannya,” katanya.
Tambah Iesya lagi, dia sudah menghantar maklumat kepada kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung perkara itu.
"Selepas membuat siasatan dan mendapati maklumat yang disampaikan benar, saya menghantar mesej kepada Hishamuddin menerusi aplikasi WhatsApp.
"Saya juga beri nombor telefon rakan setugas 'Dr. Nur' di HKL untuk membantu Wisma Putra dalam misi menyelamatkan 'Dr. Nur',” katanya.
Kementerian Luar (KLN) semalam (Khamis) telah meminta Iesya dan penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Nur Heliza Helmi untuk tampil mengemukakan maklumat berkenaan seorang warganegara Malaysia dikenali sebagai ‘Dr. Nur’ yang didakwa ditahan oleh pihak Israel.
KLN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum perkongsian tular di media sosial berhubung penahanan ‘Dr. Nur’ namun tidak dapat mengenal pasti butiran peribadi serta perincian insiden yang menimpanya.
Katanya, semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati bahawa tiada individu bernama ‘Dr. Nur’ yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan.
“Hal ini sekali gus menyulitkan usaha perwakilan Malaysia untuk menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular sewajarnya kepada individu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
KLN berkata, pihaknya juga telah cuba menghubungi dua individu yang didakwa berkhidmat di HKL bernama Dr. Aida dan Dr. Shafiq bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan ‘Dr. Nur’, namun kedua-duanya gagal dihubungi.
Pada masa sama, KLN memaklumkan pihaknya telah berhubung dengan pihak-pihak berkuasa di negara ini untuk membantu mengenal pasti identiti dan keberadaan ‘Dr. Nur’.
Katanya, maklumat berkenaan laporan yang dikemukakan orang awam termasuk tangkap layar posting-posting berhubung insiden yang menimpa ‘Dr. Nur’ telah dikumpul dan dipanjangkan kepada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat sahih berhubung identiti serta keberadaan ‘Dr. Nur’ turut digesa untuk tampil dan mengemukakan maklumat tersebut melalui e-mel bkrm@kln.gov.my.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar