gaya hidup
'Snowplough Parent’ – Adakah Kita ‘Menjadi Tongkat’ Atau ‘Memberi Tongkat’ Kepada Anak?
Mendepani dan menguruskan keperluan anak-anak bukan sahaja mencakupi aspek material dan fizikal semata-mata. Tetapi mencakupi segenap sudut. Malah pengisian dalaman, kemampuan menguruskan emosi turut memainkan peranan penting. Berdasarkan perkongsian Noor Afidah Abu Bakar dari Parent Connect Consultancy dalam huraiannya mengenai topik ini, membuatkan kita sebagai ibu bapa perlu lebih peka dan cakna sekali gus lebih rasional dalam membentuk sahsiah diri anak-anak. Jika tidak diselia dengan baik, ia mampu merencatkan keupayaan anak untuk menghadapi cabaran dalam hidup.
Kredit Foto: Google
Adakah Kita Seorang 'Snowplough Parent'?Ia bermula dengan perkara yang kecil dengan niat yang baik tidak mahu anak mendapat susah. Anak tertinggal buku di rumah, terus ayah atau ibu bersusah payah menghantar buku ke sekolah kerana takut anak dimarahi guru. Anak tertinggal buku sekali lagi, ayah atau ibu bergegas hantar lagi kerana takut anak didenda guru pula. Anak menjadi tidak peduli. Anak terus tinggal buku di rumah kerana tahu ayah atau ibu akan hantar kerana takut anak dimarahi guru. Anak tidak siapkan kerja rumah, ayah atau ibu bersusah payah menghantar whatsapp kepada guru dengan memberi alasan bagi pihak anak yang tidak ada inisiatif untuk menyelesaikan tugasannya sendiri.
Dek Kerana Takut
Dari mulanya takut anak dimarahi guru, ibubapa kemudian cuba pula melindungi anak dari rasa kecewa.
Apabila anak tidak dapat menyertai mana-mana pasukan atau pertandingan, ibubapa terus menghubungi guru penasihat atau koc meminta agar mempertimbangkan anak untuk menyertai pasukan tersebut. “Anak tidak boleh kecewa, dia harus dibantu”. Begitulah fikir ayah ibu.
Kredit Foto: Google
Inilah sikap awal ibubapa yang dikenali sebagai ‘SNOWPLOUGH PARENT’ atau ‘LAWNMOWER PARENT’ yang membawa kepada berlakunya skandal kemasukan ke universiti (College Admission Scandal) terbesar di Amerika Syarikat yang dikenali sebagai 'Operation Varsity Blues'. Skandal ini melibatkan lebih 30 orang ibubapa yang didakwa atas tuduhan memberi rasuah agar anak mereka mendapat tempat di universiti terkemuka.Ibubapa ini dikenali dengan panggilan sedemikian kerana sebagaimana mesin pembersih salji ataupun mesin pemotong rumput, mereka akan menghapuskan segala rintangan yang berada dalam laluan anak agar anak boleh berjaya. Mereka tidak mahu anak merasa kecewa, tidak mahu anak gagal dan tidak mahu anak terlepas peluang. Dan dengan perkembangan media sosial sekarang ini, mereka ingin menjadikan anak trofi untuk dibangga-banggakan.
Kredit Foto: Google
Sikap Ibubapa
Ia bermula dari sikap ibubapa ketika anak berada di tadika, membawa ke sekolah rendah, berterusan sehingga anak sekolah menengah, kemudian berterusan lagi apabila anak memasuki kolej dan universiti dan akhirnya ia berada di luar kawalan. Ibubapa berterusan terlibat walaupun anak ingin memohon pekerjaan ataupun sudah bekerja.Perkara yang kecil lama-kelamaan semakin membarah. Bagi 'snowplough parents' dari golongan berada, mereka sanggup membayar jumlah yang besar sebagai ‘habuan’ supaya anak mendapat tempat.
Mereka sanggup memalsukan maklumat. Mereka tidak kisah menggunakan orang lain untuk menduduki peperiksaan untuk anak mereka.
Ada juga yang menggunakan 'networking' (ataupun ‘kabel’ dalam istilah kita) untuk pastikan anak mendapat tempat di kolej atau di universiti terkemuka walaupun anak tidak menepati syarat sepenuhnya.
Kredit Foto: Google
Sekiranya 100 tempat disediakan dan anak kita tidak berjaya kerana tidak layak, bukankah menggunakan kabel atau rasuah untuk mendapat tempat tersebut bererti kita telah menganiaya seorang anak yang benar-benar layak? Ini soal moral.Ia sudah lama menjadi norma dan amalan ibubapa 'snowplough parent'. Mereka sangkakan mereka membantu anak, tetapi hakikatnya mereka mencacatkan keupayaan anak untuk menghadapi cabaran dalam hidup.
Sebagaimana yang dipaparkan dalam dokumentari yang sedang ditayangkan di saluran Netflix ini, yang dirisaukan oleh ibubapa tersebut bukanlah soal moraliti atau salah laku mereka tetapi yang dirisaukan adalah tanggapan orang sekeliling ke atas mereka dan anak mereka sekiranya mendapat tahu yang mereka menggunakan saluran yang salah.
Kredit Foto: Google
Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian, belajar untuk menyelesaikan masalah, mengambil risiko, menghadapi kekecewaan dan memiliki GRIT untuk bangun semula setelah gagal merupakan skil yang penting dalam kehidupan.Jika ibubapa sering bersusah payah melindungi anak dari menghadapi kekecewaan dan kegagalan maka anak tidak akan menguasai semua skil penting tersebut. Apa akan berlaku apabila ibubapa sudah tiada untuk membantu? Semua ibubapa sanggup melakukan apa sahaja untuk melindungi anak dan supaya anak tidak menghadapi kesusahan.
Persoalannya:
1) Adakah perkara yang sanggup kita lakukan itu untuk kebaikan anak ataupun demi kepentingan ataupun ego kita sendiri?
2) Adakah apa yang sanggup kita lakukan itu wajar ataupun tidak mengikut etika, moral, adab mahupun lunas undang-undang?
3) Adakah apa yang sanggup kita lakukan itu menganiaya orang lain ataupun mengambil hak orang lain?
'Snowplough parents' bukan hanya wujud di Amerika Syarikat. “The role of parents is to prepare the child for the road, instead of preparing the road for the child.”
Kredit Foto: Google
Must-Watch Video