,
Hiburan

SEAN LEE – Dari Gereja Kecil, YouTuber dan Kini di Skrin TV. Antara Wajah Oppa Korea Versi Malaysia!

Huda Hussain
14/02/2020
15:45 MYT
Sean Lee Jia Ern, pemikirannya matang sesuai dengan usianya kini. Punya dimensi dan hala tuju dalam dunia lakonan, Sean mahu terus merebut peluang dan ruang yang diberi. Daripada Ljens, soal detik mula pembabitannya dalam dunia seni lakon, hinggalah kepada soal kehidupan, terbukti pemikiran anak muda ini unik dan tersendiri. Mula diberi kepercayaan menggalas watak hero ayuh telusuri lagi banyak perihal menarik Sean yang pernah menghiasi ruangan Khas Gaya Hidup edisi Februari 2018.
Kongsikan kepada pembaca InTrend bagaimana detik mula Sean sebelum ini sehingga membawa nama Sean ke bidang seni lakon? Saya mulanya cuba belajar teknik editing, bagaimana mahu merakam dan muat naik video di YouTube ketika masih belajar tahun pertama di kolej dahulu (Julai 2013). Saya pilih untuk gunakan medium ini sebagai portfolio dan belajar untuk olah online-content selain sebagai portfolio jika ada kllien yang berpotensi mahu melihat siapa Sean Lee. Semuanya berasaskan praktis sahaja. Praktis bagaimana mahu berinteraksi dan bercakap di hadapan kamera, apakah sudut yang sesuai dan lain-lain. Saya tidak menyangka sama sekali akhirnya saluran YouTube saya menyumbang sesuatu dan ada pengarah yang melihatnya lantas memberi pendapatan sampingan. Dan secara tidak langsung ada klien dan pengarah yang menonton saluran YouTube saya kemudian saya mula menerima tawaran iklan dan berlakon.
Kredit Foto: IG Seanlje
Apa kelainan yang Sean tampilkan dan membezakan anda dengan YouTuber yang lain? YouTube kini umpama medium untuk tujuan pengiklanan. Dan anda menggunakannya untuk mempromosi dan memperkenalkan siapa anda kepada khalayak di alam siber. Pada saya semuanya berbalik kepada pengisian dan kandungan yang anda ketengahkan. Walaupun saya akui agak sukar untuk mengekalkan dan meletakkan diri agar dikenali kerana masing-masing mempunyai strategi yang tersendiri. Ramai di luar sana yang tampil dengan filem pendek, mini series, sketsa, video jenaka dan lain-lain. Tetapi saya masih mengekalkan identiti stail yang tersendiri. Saya masih menjadi Sean Lee dan saya boleh berbicara apa jua topik mengikut keselesaan saya. Sejak saya muat naik video pertama pada Julai 2013 hingga hari ini, banyak perubahan dan penambah baikan yang saya lakukan. Misalnya daripada aspek mengedit, effects, kualiti rakaman, cara bercakap dan sebagainya.
Bagaimana dengan reaksi daripada mereka yang melanggan saluran YouTube Sean? Ada yang bertanya, bila lagi mahu buat video baharu itu dan ini. Tetapi apa yang sukar adalah untuk mencari keseimbangan antara lakonan dan fokus kepada saluran YouTube yang sudah saya cipta selama ini. Walaupun tawaran berlakon tidaklah segah mana tetapi hati saya masih mahu fokus untuk perbaiki dan tingkatkan lagi mutu kandungan dalam saluran YouTube. Kerana kadang kalanya kandungan atau tawaran lakonan yang saya terima ada diantaranya bukanlah menjadi kesukaan saya. Saya masih mahu lakukan apa yang saya minat, suka dan boleh memberi kepuasan.
Kredit Foto: IG Seanlje
Tawaran berlakon pertama yang diterima? Samsung web series (tayangan secara on-line sebanyak empat episod), ia umpama detik perkenalan saya dalam industri. Tenaga produksi dan pengarahnya telah membawa saya ke dunia baru. Daripada situ saya belajar bagaimana cara kerja dalam industri ini, bagaimana berlakon dengan lebih profesional. Sesi penggambaran hanya berlangsung sekitar empat ke lima hari. Dan apabila siri tersebut di muat naik dalam YouTube, saya menerima tawaran untuk berlakon dalam slot Seramedi terbitan TV3, drama bersiri Keluarga Pontimau. Saya diberi peluang memainkan watak utama bergandingan bersama Keith Foo, Marsha Milan, Amelia Handerson dan ramai lagi. Dan selepas itu saya fikir, saya berada di Iandasan betul untuk mula bertapak dalam industri apatah lagi dapat masuk dalam industri lakonan Melayu. Ia sesuatu yang di luar jangkaan dan saya terharu dengan peluang yang diberi. Selepas itu saya mula menerima tawaran berlakon beberapa telemovie dan antara yang membanggakan adalah ketika Michael Ang menawarkan watak untuk drama bersiri My Coffee Prince.
Penerimaan penonton Melayu terhadap kehadiran Sean Lee? Terus-terang saya katakana, saya cukup bertuah apabila diterima baik dalam industri seni khususnya Melayu. Saya banyak belajar terutamanya daripada aspek Bahasa Melayu itu sendiri, bagaimana mahu bertutur dengan baik, bagaimana menyebut sesuatu perkataan dan banyak lagi. Antara penyebab mengapa penguasaan dan pertuturan Bahasa Melayu saya baik dan pantas adalah kerana seorang perempuan. Dahulu ketika di sekolah menengah, saya cukup minat dengan seorang pelajar perempuan Melayu. Ada jurang bahasa antara kami. Dia kurang mahir bertutur dalam Bahasa Inggeris dan saya pula tidak fasih berbahasa Melayu. Rentetan itu saya perlu belajar bagaimana mahu menutur dengan baik dalam Bahasa Melayu. Namun perhubungan kami tidak ke mana kerana dia tidak sukakan saya. Sedih juga tetapi sekurang-kurangnya saya pelajari sesuatu daripadanya.
Kredit Foto: IG Seanlje
Selesa dengan persekitaran masyarakat Melayu, mengapa? Mungkin ia serasi dengan karakter saya yang chill dan laid back. Dan apa yang saya perhatikan rata-rata masyarakat Melayu lebih relaks dan tidak tertekan kerana perkara-perkara remeh. Dan semua itu berbeza sama sekali dengan rutin dan budaya masyarakat Cina. Ketika membesar di sekolah Cina, pada saya seolah-olahnya semua perlu pantas, laju dan ke hadapan. Misalnya semua perlu dilakukan secara 100 peratus. Namun sebagai manusia biasa, tidak kiralah sekuat manapun kita memaksa diri tetap punya kekurangan dan kelemahan untuk mencapai sesuatu tahap yang diimpikan. Dan apa yang saya perhatikan dalam kalangan masyarakat Melayu ada suatu sentiment yang anda mudah memaafkan.
Misalnya jika gagal berbuat sesuatu, tidak mengapa. Mulakannya semula dan kalian mengambi lmasa untuk mempelajari sesuatu. Pada mulanya saya agak struggle juga untuk menyesuaikan diri kerana itu semua bukanlah budaya dalam kalangan masyarakat Cina. Namun apa yang saya perhatikan adalah, ciri-ciri yang ada dalam masyarakat Melayu seakan-akan serasi dengan karakter saya. Biarpun saya dilatih untuk sering menepati masam itu dan ini namun di penghujungnya adalah mencari keseimbangan dalam apa yang kita lakukan. Baik dalam mencari kawan, kerja yang dilakukan, soal agama dan lain-lain semuanya ke arah itu. Dan pada saya apabila kita berjaya menguasai dan membezakan semua ini secara tidak langsung kita sudah mengimbangi apa tujuan dan keperluan dalam kehidupan sekali gus kita akan lebih bahagia dan menjalani hidup dengan lebih terurus.
Asas seni lakon, belajar dari mana? Belajar dari gereja di Usj, FGT kerana saya aktif dalam pementasan teater untuk persembahan komuniti. Misalnya persembahan sempena Krismas, hari ibu bapa dan lain-lain acara. Ketika itu saya berumur lima ke enam tahun. Dan menariknya, tenaga pengajar kami terdiri daripada kalangan orang-orang yang berpengalaman dalam bidang seni lakon. Memandangkan dahulu saya tiada contact untuk menyertai mana-mana teater yang berskala besar, maka dengan inilah saya jadikan asas untuk belajar berlakon dan mendapatkan serba sedikit pengetahuan asas seni teater. Pada saya ia sesuatu yang cukup bermakna kerana selain berpeluang mempelajari asas seni lakon teater secara percuma saya didedahkan dengan ilmu dan kemahiran daripada mereka yang mahir dalam bidang ini. Walaupun hanya dalam komuniti kecil tetapi saban tahun ada sahaja produk yang kami hasilkan.
Kredit Foto: IG Seanlje
Lantas sudah punya perancangan mahu berlakon sejak dahulu lagi atau tidak sengaja memasuki industri seni ini? Ia berlaku secara tidak sengaja. Pada mulanya, selepas diperkenalkan asas seni lakon teater saya sudah berminat untuk menjadi pelakon suatu hari nanti. Namun dibesarkan dalam keluarga Cina yang menjalani rutin dan kehidupan yang berbeza dengan karakter saya, agak sukar juga untuk saya menyesuaikan diri. Fokus ibu bapa hanya bidang dan cabang pekerjaan profesional sahaja yang harus diceburi misalnya doktor, akauntan, peguam dan seumpama dengannya. Tiada istilah mahu anaknya menjadi pelakon dalam bidang hiburan kerana pada mereka berlakon tidak akan membawa saya ke mana. Ia bukanlah suatu bidang yang berjaya. Ia umpama sebuah impian yang mustahil untuk saya kecapi apabila ingin memulakan langkah dalam bidang ini. Biarpun saya memperoleh keputusan yang agak baik dalam SPM, ibu saya bertanya mengapa tidak memohon untuk belajar dalam bidang perubatan atau yang lain.
Namun dunia perubatan bukanlah menjadi minat saya. Saya tidak mahu terikat dengan bebanan kerja seperti itu. Dan mula terfikir mengapa tidak jika saya belajar menjadi juruterbang kerana saya suka mengembara dan berjumpa orang. Namun entah mengapa, saya seolah-olah didorong dan mendapat ilham untuk mencuba dalam bidang hiburan. Lantas saya beranikan diri dan berterus terang dengan ibu bapa mengenai minat saya yang mahu menghasilkan video, merakam dan berlakon. Saya bertuah kerana bapa saya menyokong malah dia bertanya mengapa saya tidak memaklumkannya lebih awal. Dan saya berasa lega melihat reaksinya.
Walaupun pada mulanya ibu meragui kerana baginya saya harus buktikan sama ada saya mampu bertahan atau tidak. Syukur kerana laluan saya dipermudahkan dan mereka berbangga melihat di mana saya kini. Walaupun tidak popular dan gah seperti bintang lain tetapi langkah permulaan ini penting untuk saya terus bertapak dalam industri.
Saya mahu berlakon dan terus memajukan industri kerana pada saya kita harus berfikir secara global untuk sampai ke tahap yang lebih tinggi. Sewajarnya kita harus fikir untuk membikin filem bukan untuk rakyat Malaysia sahaja. Sampai bila lagi harus kita berada di takuk lama, pontianak itu dan ini. Jika untuk permulaan tidak mengapa tetapi untuk melangkah ke peringkat seterusnya, pemikiran haruslah lebih besar.
Kredit Foto: IG Seanlje
Beralih kepada topik yang lebih ringan dan santai. Sejauh mana pentingnya bagi Sean untuk dilihat lebih fashionable sementelahan sudah menceburi dunia glamor ini? Saya akan cuba tampil as fashionable as I can. Lihat sahaja penampilan dan gaya orang berpakaian ketika menghadiri Minggu Fesyen Kuala Lumpur. Semuanya cantik, kemas dan trendy. Dan berbalik kepada stail peribadi, saya lebih sukakan sesuatu yang ready-to-wear, minimalistik, ringkas dan simple enough for people to copy and carry. Kerana pada saya, soal fesyen berkisarkan kepada apa yang kita ikut. Kita bukanlah pioneer dalam sesuatu kerana ia telah wujud sejak berabad dahulu. Tetapi lebih kepada mengikut dan mengolah gaya sedia ada. Saya sukakan elemen yang bisa pops out seluruh penampilan. Misalnya jam tangan yang berbeza warna dengan pakaian yang plain. Saya tidak kisah mengenakan jaket rona terang untuk menyerlahkan penampilan. Selain itu saya gemarkan gaya fesyen era 1950 hingga era 80-an. Entah mengapa, saya terinspirasi dengan zaman ini baik daripada pengaruh muzik disko, fesyen dan gaya hidup.
Saya akui ada yang tidak melihat saya sebagai orang biasa. Tanggapan mereka, saya kini selebriti dan sebagai selebriti saya perlu dilihat tampil segak ke mana jua acara yang dihadiri. Tetapi terus terang saya katakana, dalam wardrobe saya tidak banyak mana pun baju-baju dan helaian yang cantik (ketawa). Pada saya dalam soal ini banyak penilaian dan jangkaan dalam pemikiran masyarakt. Misalnya bagi mereka, ‘Oh artis perlu punya wang yang banyak, hidup mewah dan kaya-raya.’ Namun hakikatnya dalam realiti kehidupan sebenar tidak semua yang digambarkan itu terjadi. Dan melihat kepada perspektif saya sebagai pendatang baru, semua biasa-biasa dan serba sederhana. Tidak semestinya saya perlu ada semuanya yang baru dan canggih semata-mata. Itulah sentimen yang saya mahu sematkan dalam pemikiran peminat dan pengikut saya. Sebagai selebriti, kami sama seperti anda. Kami cuma manusia biasa yang mahu terus mencari rezeki dalam bidang ini. Dan untukitu saya keluarkan merchandise sebagai salah satu sumber pendapatan sampingan. Menerusi label Ljens, adalah sedikit wang saku untuk saya lunaskan apa yang perlu.
Walaupun tinggal dengan keluarga, ibu saya mendidik agar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab. Memandangkan saya sudah bekerja, dia mahu saya membayar sewa rumah. Dan saya melihatnya sebagai salah satu praktis yang baik untuk saya lebih berdikari dan memahami erti tanggungjawab. Biarpun saya bekerja untuk mencari duit tetapi sebenarnya saya punya komitmen lain di sebalik itu. Bila duit keluar dari poket sendiri, barulah saya tahu ‘sakitnya’ macam mana, hahaha…
Biarpun ada yang berkata, mengapa tidak saya beri secara percuma merchandise kepada pengikut dan peminat. Tetapi hakikatnya inilah cara yang saya boleh fikirkan untuk mencari wang sampingan. Dan bukannya niat saya mengeluarkan merchandise ini semata-mata mahu memanipulasi atau mempergunakan mereka. Kerana semua sedia maklum pendapatan sebagai pelakon tidak menentu dan tidaklah segah mana. Justeru saya perlu bijak memikirkan apa yang boleh saya salurkan untuk meraih yang lebih sedikit.
Memandangkan kini saya sudah berusia 24 tahun, inilah turning point saya untuk menjadi lebih dewasa. Jika sebelum ini semuanya dibiayai oleh ibu bapa tetapi kini mereka mengajar saya untuk melunaskannya sendiri. Baik daripada bil telefon bimbit, kereta hinggalah perbelanjaan harian semua perlu saya uruskan sendiri. Sebelum ini saya hanya mendengar sahaja keluhan mereka atau kemelut yang dilalui oleh golongan dewasa. Tetapi kini, saya merasai dan melaluinya sendiri. Barulah tahu cabarannya dan saya kini bersedia mendepaninya.
Kredit Foto: IG Seanlje
Sejauh mana Sean percaya dan berpegang kepada soal persamaan jantina, antara lelaki dan perempuan? Saya setuju dan menyokong soal ini. Daripada perspektif peluang misalnya ada yang berpendapat soal layanan sama rata harus diberi kepada kedua-duanya, baik lelaki mahupun lelaki. Namun saya fikir golongan perempuan masih belum bersedia sepenuhnya. Jika anda mahukan sepenuh persamaan dalam soal ini, anda harus mula mengambil tanggungjawab dan apa yang golongan lelaki lakukan dalam semua hal. Contoh, situasi jika keluar dating, okay biar teman wanita yang menjemput dari rumah dan membayar bil makanan. Dan saya fikir, benar golongan perempuan mahukan kebersamaan dalam soal jantinan tetapi masih ramai perempuan yang belum benar-benar bersedia ke arah ini. Mungkin perkembangannya berlaku dalam masyarakat kita tetapi masih perlahan.
Pada pendapat saya, media mengajarkan kita memahami konsep ini dalam soal pekerjaan sahaja. Tetapi jika mahu difikirkan, ia seharusnya mencakupi semua aspek dalam kehidupan. Benar, kini ramai golongan wanita yang berjaya duduk di posisi teratas dalam sesebuah organisasi dan mereka diberi kepercayaan menyandang jawatan tinggi. Itu sesuatu yang cukup baik namun sewajarnya soal persamaan jantina ini bukanlah terhad dalam skop itu sahaja. Ia seharusnya lebih meluas dan konsep ini bukan sahaja perlu dipersetujui oleh perempuan, tetapi lelaki juga harus melihatnya sebagai satu tanggungjawab. Untuk lebih berusaha memperbaiki diri dan menjadi lelaki yang lebih prihatin dan memahami. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri.
Hebat dan matangnya pemikirkan Sean! Okay, kita bual sedikit soal perempuan. Apakah ciri-ciri perempuan yang Sean cari dan gemari? Hmmm… Dulu saya suka perempuan yang macam Lofa. Misalnya saya pandang dari luarannya yang kelihatan cantik. Tetapi lama-kelamaan saya perhatikan seolah-olah ada sesuatu yang kurang. Entah mengapa, saya lebih sukakan perempuan yang tidak mengenakan mekap. Bukan tidak boleh bersolek tetapi tidaklah selalu dan perlu. Malah saya tidak pernah bayangkan saya akan bercinta dengan selebriti. Saya sukakan gadis biasa yang lemah lembut, sopan-santun dan sedap mata memandang. Gadis yang pandai menyanyi dan boleh melukis juga bisa mencuri hati saya, wah! (ketawa) Peliknya, saya kini bukan mencari gadis untuk dijadikan teman wanita tetapi saya seolah-olah mencari wife material yang saya bayangkan akan dikahwini dan hidup bersama suatu hari nanti.
Tetapi tidaklah sampai ke tahap yang jika saya sudah jatuh cinta dengan seorang gadis Melayu, dan dengan menukar agama sahaja kami boleh bersatu… Pada saya tidaklah ke peringkat itu. Saya tidak mungkin menukar agama hanya kerana soal cinta. Biarlah jika saya mahu menukar agama kerana menerima petunjuk daripada Tuhan dan bukannya kerana sesiapa atau atas tujuan apa-apa. Saya selesa dan gembira menjalani kehidupan kini sebagai penganut agama Kristian.
Kredit Foto: IG Seanlje
Mengenai laman sosial, sejauh mana kerap dan akrab Sean dengan pengikut? Saya akan cuba sebaik mungkin untuk membalas komen-komen, direct message hanya berkisarkan soal kerja. Terus-terang, kadang kala saya stalk juga Instagram peminat, hahaha… Lihat apa yang mereka lakukan, komen dan like foto mereka.
Dan Sean percaya media sosial banyak membantu dalam mengembangkan karier? Ya, ia membantu kita berinteraksi dan mengeratkan hubungan dengan sesiapa yang kita mahu malah amat membantu dalam perjalanan karier saya. Selain itu, media sosial juga menjadi medium penting untuk saya perkenalkan dan pasarkan jualan merchandise Living Ljens seperti baju short sleeve, long sleeve, topi dan akan datang lebih banyak jaket. Saya mahu sasarkan untuk luaskan daripada merchandise kepada satu jenama pakaian setanding dengan jenama sedia ada.
Harapan dan apa jua yang terakam dalam minda Sean yang mahu dikongsi bersama peminat? Saya selesa dan gembira menjalani kehidupan hari ini. Dan secara peribadi saya berbangga dengan apa yang sudah dicapai. Saya mahu tumpukan kepada perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan salama ini dan memasang cita-cita untuk buka kafe pula. Harapan kepada semua terus setia bersama saya, kekal berinteraksi di laman sosial sebagai bukti untuk teruskan sokongan anda. Dengan usia sebegini, terus terang saya katakana, saya masih muda dan banyak yang saya mahu cuba capai. Tujuan saya buka bisnes bukan sekadar mahu meraih keuntungan tetapi mahu beri peluang pekerjaan kepada orang ramai, bantu ekonomi. Kerana hanya dengan cara ini saya mampu fikirkan untuk membantu. Saya bertuah kerana mendapat sokongan dan sambutan daripada kalangan peminat Melayu, terima kasih saya ucapkan kerana sudi menerima kehadiran saya. Pada saya, biarlah kita naik dan jatuh bersama-sama. Dan saya tidak akan berada di sini tanpa kalian.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Berita

Isu Artis Mangsa Buli; Syafiq Yusof Gesa Produksi Main Peranan - "Perlu Wujudkan Suasana Friendly"

gempak
23/11/2024
12:55 MYT
Pengarah, Syafiq Yusof, merasakan bahawa pihak produksi perlu memainkan peranan penting di set penggambaran untuk memastikan suasana bekerja yang kondusif dan harmoni.
Hiburan

Pelakon Lelaki Mengaku ‘Tahi Judi’, Pernah Kalah RM8 Juta

gempak
23/11/2024
08:25 MYT
Bekas pemain bola keranjang yang bertukar karier menjadi selebriti, Denny Sumargo mendedahkan pernah menjadi ‘tahi judi’.
Bollywood

Shah Rukh Khan Teruja Kembali Ke Malaysia! - "Saya Bukanlah Orang Penting Untuk Dianggap ..."

gempak
22/11/2024
21:50 MYT
Kehadiran ikon Bollywood Datuk Shah Rukh Khan yang ketika ini berada di Malaysia, mengujakan seluruh tetamu pada majlis pembukaan Bin Zayed International (M) Bhd, di ibu negara hari ini.
Hiburan

Ummi Nazeera Sibuk Di Set ‘Andai Tiada Dia’, Hargai Suami Ambil Alih Tugas Jaga Anak Selama 3 Bulan – “It Makes Me So Happy”

gempak
22/11/2024
15:50 MYT
Pelakon Ummi Nazeera mencuri tumpuan warga maya apabila menzahirkan rasa terima kasih buat suami tercinta Dr Izzar Anwari.
Hiburan

Babak Haikal Paksa Suri Rujuk Tular Di TikTok, Netizen Tanya Sah Atau Tak? Ini Penjelasan Dr Zulkifli Al-Bakri

gempak
22/11/2024
08:50 MYT
Tular di media sosial kini babak drama hits Andai Tiada Dia yang memaparkan Haikal lakonan Hisyam Hamid memaksa isterinya untuk rujuk semula dengannya secara paksaan.
Unitar