Highlights

Jurusolek Diraja, Datin Saidatulnisa – Jessica Alba Pun Pernah Disoleknya dan Menjadi Kesayangan PERMAISURI...

gempak
Afiza Kamarulzaman
20/01/2020
10:29 MYT
Sponsor Banner
Jurusolek Diraja, Datin Saidatulnisa – Jessica Alba Pun Pernah Disoleknya dan Menjadi Kesayangan PERMAISURI...
Jika kamu berada dalam industri kecantikan ini, pasti kenal figura bernama Datin Saidatulnisa Aminuddin atau lebih mesra disapa Kak Sai. Berpengalaman lebih 32 tahun dalam bidang solekan, menjadikan beliau amat disegani dan berada di kelasnya tersendiri. Hasil kerjanya pernah menghiasi filem-filem tempatan dan antarabangsa. Dan, yang paling dingati pastinya filem luar negara iaitu Anna & the King terbitan 20th Century Fox pada tahun 1998, di mana Kak Sai berpeluang menyolekkan Jodie Foster.
Tidak cukup dengan itu, beliaulah satu-satunya jurusolek Malaysia yang diberi peluang menyentuh wajah pelakon Hollywood, Jessica Alba menerusi filem Sleeping Dictionary terbitan Fine Line Productions pada tahun 2000. Ini kejayaan yang bukan biasa-biasa. Bezanya dulu tidak ada media sosial, justeru kuasa viral belum wujud. Jika tidak, pasti merata namanya dijaja atas prestasinya mengharumkan kerjaya solekan di Malaysia sehingga diangkat bakatnya ke taraf antarabangsa.
Ramai menggelarkan Kak Sai sebagai jurusolek di-Raja. Bukan kerana beliau bekerja di istana atau berdarah bangsawan tetapi sentuhannya yang sentiasa berjaya memikat hati para permaisuri. Antara yang pernah beliau tatariskan ialah DYMM Sultanah Nur Zahirah, DYMM Sultanah Zara Wilson, DYMM Sultanah Zarith Sofea, YTM Tunku Tun Aminah, Cik Puan Azrinaz Mazhar Hakim dan ramai lagi personaliti berstatus kerabat dan VVIP yang pernah menggunakan khidmatnya.
Kredit Foto: Saidatulnisa
Seperkara yang lebih menarik tentang bakat solekan Kak Sai ialah sentuhan ‘seri pengantinnya’ yang bisa membuatkan pengantin yang disentuhnya akan berubah indah lain macam! Antara selebriti yang memililh Kak Sai sebagai jurusolek hari kahwin mereka ialah adik kandungnya sendiri, Ella, Nora Danish, Fasha Sandha, Norjuma, Serina Chef Wan, Fizo dan Mawar, Zizie Ezette, Syura, Siti Nordiana, Rebecca Nur Al Islam, Bienda, Liza Hanim, Norkhiriah, Nana, Elyana, Ekin dan Mawi, Jovian dan Nina serta ramai lagi.
Mengimbas pencapaian cemerlangnya dalam industri persolekan ini, Datin Saidatulnisa Aminuddin pernah dianugerahkan The Best Makeup Artist for Kancil Award 1998, diangkat sebagai Stylo Makeup Artist of the year Award (Mercedes Benz) 2008. Juga pernah mendapat pentauliahan dan pengiktirafan sebagai Professional Makeup Artist dari Persatuan Pakar Pengajar dan Pakar Industri Negara (MANDATE) pada tahun 2017. Tidak ketinggalan, menerima anugerah Golden Makeup Artist 2019 dari FCC.
Begitulah serba sedikit pengenalan diri seorang jurusolek yang bernama Saidatulnisa ini. Wanita yang berasal dari Klang ini anak ke empat daripada tujuh beradik dan sangat dikenali sebagai seorang yang sangat merendah diri dan tidak sombong. Setiap sapaan dibalas dengan ramah dan sentiasa tersenyum manis. Baik budi bahasanya, patutlah menjadi kesayangan Tuanku semua. Ayuh, baca lagi kisahnya lebih lanjut.
Kredit Foto: Saidatulnisa
Bila mula mengenali apa itu mekap dan bagaimana memulakan kerjaya ini?
Nenda Kak Sai sendiri seorang jurusolek juga. Mungkin bakat beliau turun kepada Kak Sai yang menjadikan Kak Sai meminati dunia solekan ini. Kak Sai mula ‘menconteng’ muka orang menerusi kanvas adik sendiri iaitu Ella. Waktu itu Ella sudah mula memasuki pertandingan nyanyian, daripada dia hire orang lain, baiklah Kak Sai sendiri menyolekkannya. Kak Sai juga mencurahkan bakat terpendam waktu itu dengan memekapkan rakan-rakan tarian ketika berjinak dengan tarian kebudayaan. Dulu, kita tidak ada Youtube, Instagram atau Facebook untuk mempromosikan hasil kerja kita. Jadi, untuk dikenali, biasanya servis kita dipromosikan dari mulut ke mulut oleh rakan-rakan dan begitulah Kak Sai bermula sebagai juru solek pengantin, seterusnya dipanggil oleh selebriti dan VVIP.
Kenapa memilih bidang ini sebagai kerjaya tetap? Kak Sai memang minat dengan kerjaya ini dari dulu lagi. Tiada yang lain, hanya solekan! Sebenarnya dari kecil lagi, Kak Sai suka dan teruja dengan lukisan dan mewarna. Kak Sai jenis yang suka tengok orang bersiap cantik dan akan rasa bahagia apabila melihat seseorang itu cantik dengan hasil kerja Kak Sai. Satu kepuasan yang susah untuk dijelaskan.
Kalau boleh Kak Sai kongsi dengan InTrend pengalaman mula-mula bergelar juru solek? Mungkin kepayahan dan cabarannya waktu itu? Kalau dulu untuk menjadi seorang jurusolek bukannya mudah. Kita tidak punya banyak platform untuk mengenengahkan bakat dan servis. Setiap satu perkara perlu diusahakan sendiri. Bayangkanlah kalau hendak ke sesuatu lokasi pun kena cari sendiri atau bertanya kepada orang keliling. Bukan macam sekarang, taip sahaja nama tempat, Waze boleh tunjukkan. Nak tahu tak, berapa Kak Sai dibayar untuk job pertama Kak Sai dulu? Ya, pernah dibayar RM30 sahaja! Kalau sekarang, duit minyak dan parking pun tak lepas. Hahaha… Namun, semua itu dilalui dengan gembira kerana menjadikan kamu lebih matang dan berdikari.
Pernah tak dulu-dulu ditegur oleh klien atau senior tentang hasil kerja Kak Sai? Bagaimana penerimaan Kak Sai? Jujurnya, Kak Sai tiada pengalaman sebegitu. Mungkin kerana Kak Sai bermula dari muda, zaman anak dara lagi. Dan, permulaan itu menerusi solekan untuk adik-beradik dan rakan-rakan rapat. Kemudian, barulah Kak Sai kembangkan dan asah bakat yang ada dengan menyolekkan orang lain pula. Ini menjadikan Kak Sai lebih bersedia dengan hasil solekan yang lebih baik untuk dipersembahkan kepada klien atau sesiapa sahaja. Pengalaman itu penting untuk menjadikan kita lebih bagus.
Bukan sembarangan jurusolek mampu menembusi istana. Bagaimana mula-mula sekali sentuhan Kak Sai berjaya menyentuh wajah kerabat istana dan siapa Permaisuri yang pertama sekali Kak Sai solekkan? Alhamdulillah, inilah yang dinamakan rezeki. Tidak diberi peluang masuk ke istana, bukan bermakna jurusolek lain itu tidak bagus. Lain orang, lain identiti solekannya dan lain klien, lain juga citarasa mereka. Kebetulan mungkin, sentuhan Kak Sai disenangi kerabat-kerabat ini. Permaisuri pertama yang Kak Sai tatariaskan ialah Tuanku Zara Salim Davidson ketika majlis pertunangan baginda bersama DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah.
Dan etika untuk berada di samping insan-insan berdaulat ini bukan boleh diambil mudah. Jadi, bagaimana protokol untuk bergelar jurusolek Diraja ini? Ketika dilamar pun, kebiasaannya kita sudah diberitahu serba-sedikit protokolnya oleh pegawai istana. Namun, bagi Kak Sai paling penting sebagai orang yang tidak biasa berada dalam kalangan mereka, pengalamanlah yang menjadi guru terbaik untuk kita belajar dan membetulkan kesilapan lalu. Pada masa yang sama, cuba fahami dan sensitif dengan keadaan sekeliling, boleh sahaja bertanya dengan pembantu dan orang-orang istana. Jangan malu dan sombong untuk mengaku yang kita tidak tahu daripada terus melakukan kesilapan.
Apa agaknya trademark solekan Kak Sai yg menjadi signature dalam karya Kak Sai? Natural smokey eyes makeup dan fresh look.
Sebagai orang lama dalam dunia persolekan ini, bagaimana mahu dihormati sebagai seorang jurusolek profesional? Semak attitude diri dahulu. Nasihat Kak Sai, kuatkan disiplin diri, tepati masa dan sentiasalah menjaga diri dengan menjaga confidentiality client. Kak Sai juga ingin pesan kepada jurusolek baru untuk menjaga kualiti mekap. Bagi yang menyolekkan pengantin, jangan terlalu terikut trend mekap viral kerana takut apabila dilihat kembali foto album perkahwinan pada masa hadapan, kalian akan menyesal kerana trend mekap itu akan lapuk dan ketinggalan zaman. Lebih pahit lagi, diketawakan kerana kelihatan sungguh tidak relevan. Maka, kekalkanlah solekan natural yang ternyata bersifat malar segar dan mampu menaikkan seri pengantin sepanjang zaman.
Betulkah orang kata sentuhan Kak Sai mahal? Maklumlah taraf-taraf di-Raja? Yeke mahal? Mungkin orang menyukai Kak Sai kerana bakat dan pengalaman Kak Sai. Lebih-lebih lagi kerana Kak Sai mempunyai pengalaman mencecah 30 tahun. Seperti yang Kak Sai katakana tadi, pengalaman itu yang mahal sebenarnya. Dalam masa yang sama, Kak Sai telah berkhidmat untuk beribu klien, tidak kira orang biasa sehinggalah VVIP. Menerusi pengalaman yang panjang itu, Kak Sai boleh ‘membaca’ solekan yang sesuai untuk mereka. Mereka membayar untuk professionalism Kak Sai itu.
Boleh sebutkan senarai kerabat yang pernah Kak Sai solekkan dan bagaimana bekerjasama dengan baginda semua? Permaisuri Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Mantan Isteri Sultan Brunei, Azrinaz Mazhar Hakim, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim Davidson, Mantan Sultanah Kedah, Che Puan Besar Hajjah Haminah, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofea, Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah dan anak-anak di-Raja dan keluarga di-Raja Malaysia yang lainnya. Tidak ketinggalan, kerabat-kerabat di-Raja Brunei, YTM Puteri Hajah Amal Jefriah, YTM Puteri Hajah NorAin, YTM Puteri Hajah Umi dan anak-anak saudara Sultan Brunei. Jika ditanya pengalaman mendekati insan-insan ini, bagi Kak Sai secara peribadi, mereka ini sangat baik, humble, berdisplin dan menepati masa.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024